Bersama Prof Dr Syed Hassan Al Mashoor
DALAM kehidupan seharian, kita tidak dapat mengelakkan diri daripada berinteraksi dengan orang lain, baik di rumah mahupun di luar kecuali seseorang itu memilih untuk bertapa di sebuah gua yang jauh terpencil.
Bagi kita yang sentiasa berdepan dengan orang lain, kita ada pendekatan dan kaedah bagaimana cara terbaik untuk melayan seseorang tetapi bagi individu yang memilih berseorang diri mungkin tidak mempunyai banyak masalah kerana tiada siapa yang perlu dilayan.
Apabila perhubungan antara satu sama lain menjadi mesra, contohnya, antara suami dengan isteri, ayah ibu dengan anak-anak dan majikan dengan pekerja, maka tidak wujud persengketaan dan perselisihan faham.
Namun begitu, sebagai manusia yang mempunyai pelbagai sikap, ada sikap terpuji yang mana seseorang boleh bertolak ansur dan sanggup berkorban demi menjaga keharmonian perhubungan antara satu sama lain dan ada juga mereka yang keras hati dan diselubungi sikap buruk sangka sehingga boleh membawa kepada pertelingkahan merugikan.
Dari perspektif sikap terpuji, seseorang itu mampu mengecapi kejayaan demi kejayaan kerana mudah bermesra, ramah dan mampu memahami kehendak dan keperluan orang lain. Di samping itu, dia juga tahu kelemahan dirinya.
Kesanggupan yang ada pada individu seperti itu untuk membantu dan memberi pertolongan dengan ikhlas sentiasa disanjung dan dihargai orang lain. Justeru, amat beruntung apabila ada orang seperti ini dalam sesebuah keluarga atau institusi.
Bagaimanapun, jika berlaku sebaliknya iaitu seseorang ketua keluarga atau ketua dalam mana-mana institusi mempunyai sikap buruk sangka, maka kemungkinan akan wujud suasana kurang senang antara ahli-ahli keluarga dan juga antara pekerja di institusi berkenaan.
Persekitaran yang tidak menyenangkan ini tidak memberi sebarang faedah kepada semua yang terbabit malah semangat mereka untuk mempertingkatkan kualiti hidup boleh menjadi pudar dan terhakis.
Isunya di sini ialah apakah faktor yang boleh membantu seseorang mengelak daripada mengamalkan sikap buruk sangka.
Sesungguhnya mereka yang tergolong dalam kumpulan ini mempunyai tahap emosi agak rapuh. Mereka mudah melenting walaupun dengan sebab-musabab remeh temeh.
Emosi mereka mudah naik dan turun dalam kerangka masa singkat. Kadangkala
ungkapan kata-kata yang kesat dan tidak seharusnya disebut, terkeluar tanpa banyak memikir akibat dan kesudahannya selepas itu.
Mereka tidak menghiraukan apa yang akan berlaku dan bagi mereka, mereka saja yang betul dan benar, orang yang dimaki hamun memang salah dan patut dibuat begitu. Tidak ada tanda-tanda yang mereka akan meminta maaf atas sikap mereka.
Oleh itu dihuraikan beberapa faktor yang mungkin boleh diamalkan bagi mengelakkan kejadian seperti itu kerana perilaku sebegini amat merugikan diri sendiri serta membuat orang lain berasa kurang senang untuk berdamping dengan individu yang terbabit. .
Pertamanya, jika berlaku sebarang salah faham, perkara penting yang harus dilakukan adalah untuk berunding secara ikhlas dan matang terhadap perkara berkaitan. Tidak ada gunanya apabila seseorang menengking dan menjerit sewaktu hendak berbincang sesuatu.
Perilaku seperti ini tidak membawa sebarang makna kerana mustahil sesuatu dapat dirunding dalam suasana yang tegang seperti ini. Justeru, agak wajar pihak tertuduh memaklumkan bahawa dia tidak dapat berunding dalam suasana agak tegang, mungkin selepas orang terbabit berasa reda sedikit, barulah perbincangan lebih bermakna dapat diadakan.
Sekurang-kurangnya orang yang terbabit boleh nampak kelemahannya dan sanggup membuat sesuatu bagi mengubah keadaan sedia ada.
Keduanya, orang tertuduh perlu memisahkan fakta daripada andaian. Ia tidak seharusnya dipengaruhi pelbagai andaian dan pendapat yang boleh memburukkan lagi keadaan. Dia perlu bersikap adil dan tidak mudah diapi-apikan oleh hasutan.
Tindak balas seperti ini akan menjadikan individu berburuk sangka sedar bahawa tuduhan melulu beliau tidak berasas dan hanya dipengaruhi oleh sikap syak wasangka saja.
Ketiganya, orang yang tertuduh boleh menerima segala tuduhan dengan hati terbuka dan bersedia mencari jalan penyelesaian terbaik. Ini akan membuat orang yang berburuk sangka itu melihat kembali ketidakadilan tuduhannya dan dia akan sedar orang yang dituduh mempunyai sifat terpuji dan pandangan lebih fleksibel, tidak seperti dirinya yang mempunyai pemikiran agak sempit dan rigid.
Faktor dihuraikan berkaitan dengan perilaku dan sikap individu yang mudah dipengaruhi oleh perihal buruk sangka dan bagaimana individu tertuduh boleh menangkis tuduhan liar yang dilemparkan kepadanya.
Dalam bidang perubatan psikologi, sikap buruk sangka boleh dilihat dari pelbagai peringkat, sama ada tidak serius atau serius.
Tahap tidak serius bermaksud dengan penjelasan saja, orang terbabit boleh menerima kenyataan dan cuba mengamal perilaku dan sikap yang lebih menyenangkan.
Bagi tahap serius, latar belakang, personaliti dan kestabilan mental individu berkaitan perlu dinilai secara terperinci untuk memastikan dia tidak mengalami sebarang gangguan mental yang serius seperti depresi, gangguan delusi paranoid, skizofrenia dan mania.
Jika ada bukti bahawa individu itu mengalami gangguan mental serius, dia memerlukan rawatan ubat-ubatan khusus bagi mengawal dan memulihkan semula kestabilan mentalnya.
Prof Dr S Hassan Ahmad.
hassan@fhs.unimas.my
No comments:
Post a Comment