Sejarah Penggunaan Tahun Hijri oleh : al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Umat Islam baharu sahaja menyambut tahun baru hijri. Pernahkah kita menyelusuri sejarah penciptaannya dan penggunaannya? Penggunaan tahun hijrah bermula selepas 7 tahun kewafatan Rasulullah saw iaitu pada tahun ke 17 Hijrah di zaman pemerintahan Sayyidina Umar bin al-Khattab. Sebelumnya mereka hanya menggunakan hari dan bulan sahaja tanpa tahun. Bulan yang telah diterimapakai sejak zaman Rasulullah saw ialah Ramadhan, Syawwal, Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Safar, Rabi`ul Awwal, Rabi`ul Akhir, Jumadil Awwal, Jumadil Akhir, Rajab dan Sya`ban. Penentuan hari ialah dengan melihat bulan yang timbul di waktu malam. Abu Nu`aym al-Asbahani meriwayatkan dua cerita tentang sejarah penggunaan tahun di zaman Umar. Satu riwayat menyebut, sampai pada Umar dokumen kewangan bertulis Sya`ban. Lalu timbul pertanyaan dalam diri Umar; ini Sya`ban bila? Yang baru ini ke? Atau yang sebelumnya lagi. Satu lagi riwayat menyebut bahawa ada di kalangan gabenor wilayah Islam di zaman Umar mengadu kepada Umar; setiap kali datang surat kamu pada kami, ia tidak mempunyai tahun. Kami tidak pasti bilakah ia dihantar kepada kami. Lantaran itu, Umar menjemput para Sahabat untuk membincangkan penentuan tahun. Mereka bersetuju bahawa penentuan tahun perlu dibuat berdasarkan peristiwa besar yang berlaku. Persoalannya apakah peristiwa yang boleh dijadikan asas kalendar Islam? Beberapa cadangan diberikan, antaranya berasaskan kelahiran Nabi saw, berasaskan kenabian, berasaskan penghijrahan dan berasaskan kewafatan. Namun, Umar bersetuju dengan hijrah sebagai asas dengan alasan: “Hijrah itu membezakan antara kebenaran dan kebatilan”. Dengan itu, diisytiharkan hijrah sebagai asas pengiraan tahun bagi umat Islam. Tahun perbincangan itu berlaku ialah 17 tahun selepas berlakunya hijrah Rasulullah saw, bererti ia merupakan tahun 17H. Seterusnya timbul pula persoalan; bulan manakah yang akan dimulakan tahun hijrah? Beberapa pandangan dilontarkan. Antaranya Ramadhan, Syawal dan Muharram. Umar memilih Muharram dengan alasan: “Muharram adalah bulan orang ramai bersurai”. Maksudnya, bersurai daripada mengerjakan ibadah haji. Ibadah haji dilakukan pada bulan Zulhijjah. Ia adalah perhimpunan besar-besaran umat Islam seluruh dunia. Tentu banyak pengalaman menarik sepanjang berhimpun yang boleh mencorak keperibadian muslim yang lebih baik. Kepulangan mereka ke kampung halaman masing-masing selalunya pada bulan Muharram. Mereka kembali pula dengan keperibadian baru selepas mendapat pengampunan dosa hasil ibadah haji. Justeru, sangat sesuai ia dijadikan sebagai bulan pertama kalendar Islam. Dengan itu, bermulalah penggunaan tahun hijrah dengan Muharram sebagai bulan pertama seterusnya Safar, Rabi`ul Awwal, Rabi`ul Akhir, Jumadil Awwal, Jumadil Akhir, Rajab dan Sya`ban, Ramadhan, Syawwal, Zulkaedah dan Zulhijjah sebagai bulan ke 12. |
December 29, 2008
Selamat tahun baru 1430h
Assalamualaikum. Hari ini merupakan 1 Muharram 1430 Hijrah. Kepada semua saudara yang beragama islam, jadikan tarikh ini sebagai pencetus untuk memperbaiki diri pada tahun ini berbanding tahun yang lepas. InsyaAllah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Labels
- Catatan perjalanan (55)
- haji 1432 (1)
- Lakaran (34)
- Layan Jiwang (3)
- Merapu kepunden paran sekeper (46)
- Non-Technical (38)
- Panduan Hidup (1)
- Technical (28)
- Tips (4)
No comments:
Post a Comment