March 22, 2008

Petua Menjaga Hati Isteri

Senarai petua ini aku dapat dari satu laman web mengenai rumahtangga. Tak semestinya semua orang akan setuju dengan petua2 ini. Bagaimanapun, aku rasa kebanyakannya memang aku amalkan, mana yang sesuai.. dan alhamdulillah.. sehingga kini kasih sayang kami semakin bertambah..

1. Telefon isteri dari tempat kerja untuk bertanya khabar, memberitahu sesuatu yang menarik atau sekadar ingin menyatakan "I Love You".

2. Ucapkan kata-kata sayang sekurang-kurangnya dua kali sehari.

3. Tolong kemaskan katil dan bilik tidur.

4. Tolong terbalikkan stokin atau seumpamanya untuk memudahkan isteri mencuci. Tolong buang sampah tanpa disuruh.

5. Bila keluar out station, telefon isteri untuk memberitahu nombor telefon tempat penginapan dan memberitahu yang kita sudah selamat sampai.

6. Tunjukkan kepimpinan yang baik, suami adalah ketua rumahtangga dan pendidik.

7. Berdiskusi dari semasa kesemasa, jangan ketepikan pendapat isteri.

8. Sentiasa kemas, anggun dan wangi sebelum tidur bersama.

9. Sokong pendapat isteri sekiranya beliau bertentangan dengan pendapat orang lain, tetapi hendaklah secara rational bukannya mengiyakan semuanya...... sekiranya pendapat isteri anda salah, betulkannya.

10. Urut-mengurut isteri atau seumpamanya dari masa kesemasa.

11. Peluk dan belai isteri sekali-sekala tanpa implikasi seksual.

12. Sabar dan tenang bila mendengar cerita dan masalah isteri.

13. Pamerkan kasih sayang bila dikhalayak ramai. Jangan abaikan isteri atau tinggalkan beliau jauh bila berjalan.

14. Bila berpegang tangan, jangan biarkan tangan longlai.

15. Buatkan air minuman atau seumpamanya sekali-sekala.

16. Bila makan diluar, jangan harapkan isteri sahaja yang memilih tempat untuk makan.

17. Sabar bila isteri terlambat sedikit atau dengan tiba-tiba ingin menukar baju yang dipakai atau menukar rancangan.

18. Beri perhatian yang lebih pada isteri dari orang lain dikhalayak ramai.

19. Lebihkan isteri anda dari anak-anak.

20. Belikan hadiah kecil dari semasa kesemasa seperti minyak wangi, jamu atau umpamanya, kad-kad ucapan juga dapat mengeratkan lagi hubungan kasih sayang dengan isteri.

March 10, 2008

Hari Wanita

8 Mac merupakan hari wanita sedunia. Sempena dengan hari wanita ni.. nak ucap apa yek? kalau raya tu boleh la jugak mintak mahap zahir batin ke hapa ke...? Habis hari lelaki bila?? hari-hari merupakan hari lelaki...

Apa sejarah hari wanita ni ye? macam mana pulak boleh ada hari wanita?

Peristiwa yang mencetuskan sambutan itu berlaku 151 tahun dulu iaitu pada 8 Mac 1857. Pada tarikh itu, satu mogok besar-besaran diadakan oleh beratus-ratus wanita yang menjadi buruh di kilang kain dan pakaian di New York.

Mereka melancarkan mogok kerana menentang kezaliman majikan dan masyarakat kapitalis yang mengeksploitasi keringat dan tenaga dengan bayaran gaji amat rendah, masa kerja panjang serta keadaan suasana tempat kerja yang tidak berperikemanusiaan.

Lima puluh tahun kemudian, pada Ogos 1910, Persatuan Wanita Sosialis Antarabangsa telah memilih tarikh ini sebagai Hari Sambutan Wanita Sedunia. Pada tahun 1975, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mula merayakan 8 Mac sebagai Hari Wanita Sedunia.

Itu sejarah hari wanita sedunia. Kalau nak meraikan apa-apa golongan pon, wanita ke, ibu ke, isteri ke, bapak, anak, atuk, pak menakan belah mak ke... tak payah ada hari spesel pon. Pada aku (pandangan peribadi, bukan mewakili mana-mana NGO atau parti politik berhaluan kiri)... wanita ni sentiasa spesial. Dalam Islam sekalipun, martabat wanita adalah tinggi sebenarnya... cuma orang yang tak faham je kata lelaki lebih baik darjatnya. Sekalipun kalau dah kawin, adalah tanggungjawab suami untuk menjaga isteri. Wajib memberi nafkah zahir dan batin. Kalau ada anak, tanggungjawab suami yang kena beri nafkah anak2.. Tanggungjawab isteri menjaga maruah suami. Jadi, mana lebih best? Banyak lagi fakta sebenarnya.. tapi aku bukan pandai sangat nak mengulas isu-isu macam ni. Yang penting aku faham apa tanggungjawab aku, apa tanggungjawab isteri2 aku...opppsss... isteri je..


Banyak pulak ayat aku yee..

Macam mana pun, aku nak ucapkan Selamat Hari Wanita kepada semua wanita. Semoga semua wanita yang aku kenal mahupun yang mengenali aku sentiasa di dalam keadaan selamat dan sihat.

Tikuih...

Minggu lepas aku perasan roti berterabur kat dapur rumah aku. Lepas tu ikan bilis dalam plastik pun mcm ada makhluk halus yang kacau. Aku tak rasa kucin, sebab merata aku cari tak jumpa. Lagipun takkan kucin nak makan roti sandwich kan...

Semalam kebetulan la pulak aku duk sorang2 kat rumah sebab isteri aku otstation.. so anak2 aku mcm biasa duk kat rumah mentua aku. Adik aku pulak balik kg... cuti sekolah...

Kalau aku sorang, aku tido tak tutup pintu... macam2 lagi la tak tutup.... tgh layan tgk badminton all-england sambil tgk keputusan pilihanraya, nampak kelibat satu lembaga masuk bilik aku.... cehhh..... aku terus bangun sambil ambik penyembur lipas.. gi check... tak ada apa2 pun.... tak pueh hati.. ambik lampu suluh... ushar belakang kabinet.. tu diaaaa... cik ti daaa.... tapi mata cik ti tak macam mata kucin kan... tak bercahaya...

dah nampak tu.. aku terus la sembur.. harap2 cik ti tu pensan ke, pitam ke.... aku ushar lagi.. hilang dah... siut betul.... lantak le... lepas tu aku tutup pintu.. bior dia tak bole keluar...

sampai pagi tu ada la kejap2 macam makhluk tu dok menggeronyeh kayu.. kat mana ntah.. tak kuasa aku.. ngantuk daaa....

so... esoknya aku pi la carik perangkap tikus yang jenis tak kasi mati tu... kebetulan ada la tinggal satu kat bintang... belasah je la beli...

sampai rumah aku naik atas dengar makhluk halus tu tengah menggeronyeh sesuatu.... aku masuk bilik je terus senyap.... abih pintu bilik aku dimodified makhluk tu.. siut betul...

aku terus bubuh roti dalam itu perangkap, buh dalam bilik air... keluar tgk tv kat bawah.. kasi tutup pintu...

dalam kul 12 tu aku masuk bilik.. tu dia.. cik ti sudah masuk dalam perangkap... hua ha hau hua...
besar gak makhluk halus tu.. aku ingatkan kecik je. aku jangka masuk ikut tingkap.. pasal tingkap dapur aku sentiasa bukak kecik.. kasi tutup la sekarang...

pagi tadi aku pun lepaskan cik ti tu kat rumah kosong sebelah. tak sampai hati aku nak hapuskan makhluk halus tu... walaupun cuma seekor tikus.... yang penting.. harap-harap dia tak torai la masuk rumah aku lagi... pi la carik makan kat tempat lain.


Pintu bilik aku yang digeronyeh makhluk halus

Ini la dia the culprit!

March 07, 2008

Romantic Dinner

Semalam, selepas perbincangan hangat tentang perancangan untuk masa hadapan. Aku sebagaimana biasa ambil isteri aku dari tempat kerjanya. On the way balik, lalu belakang hotel Crown Plaza Mutiara (dulu Mutiara Hotel). Hangat hati punya pasal.. keluar dari mulut aku, "Jom kita lepak minum kat hotel ni!". Terus aku masuk parking... pegi la kat Planter's Inn . Order air oren dua cawan. Lepas minum, terus bayar. Ini lah resitnya...
RM41.40 harga 2 gelas air oren. (termasuk servis charge - mcm main badminton pulak, dan 5% cukai kerajaan barisan nasional). Pehhhh... mau tahan 2 minggu rasa air oren ni kat tekak aku.

Sebenarnya, ayat, "Jom kita lepak minum sini!" adalah ayat berlagak je. Cerita betulnya, wife aku dapat baucer makan malam percuma kat situ sebab dia organize Ladies Executive Night kat situ. Unfortunately, beverages are excluded. Pasal tu la kena bayar minum air oren dua cawan tu.

Yang ini pulak sate kambin dengan ayam, abc dan buah-buahan.

Dalam perjalanan lepas makan free tu ke PD (Pantai Dalam), jem gila tapir kat NPE. Dalam pemikiran aku yang suci ni dah agak dah.. tentu ada kempen calon PKR kat situ... memang sah betul. Entah mana datang orang ramai berbondong-bondong ke sana. Bak kata ceritera lama, "yang capek datang bertongkat, yang buta datang berpimpin, yang hensem datang mencarik jodoh". Yang aku tensen tu, ada la pulak yang berfikiran ala tapir... parking kereta sesuka hati... melintang pukang mengganggu perjalanan aku daa.. Reformasi tu, reformasi jugak bang.... pemikiran tu kena reform jugak... jangan kat takuk lama.

Dah la time tu ujan lebat. Ada yang sanggup duk tepi highway tu je dengar ceramah dalam hujan. Kalau nengok gambar atas ni, ada la nampak payung sikit2 belah kanan atas tu diorg la. Tapi tak berapa nampak sebab kamera aku agak gagal kalau kurang pencahayaan.. Aku takut diorang demam je time pilihanraya nanti.. tak dapat pangkah undi. Tu baru betul nama dia "Demam Pilihanraya".

Apa-apapun kepada semua rakyat Malaysia yang layak mengundi, selamat menjalankan tanggungjawab anda mengundi esok. Berfikir dengan waras.

March 06, 2008

Poligami

Hukum poligami dalam Islam: HARUS tetapi TIDAK DIGALAKKAN.

Maknanya boleh, takde masalah tapi kena fikir-fikirkan sebelum meneruskan niat murni tu. Kalau diikutkan nafsu serakah memang boleh saja... tapi cuba fikirkan kewajaran untuk beristeri lebih dari satu berdasarkan artikel di bawah ini.

Memahami poligami
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

Islam tidak mengharamkan poligami, tidak menggalakkan atau menyuruh umatnya melaksanakannya. Ia hanya satu peruntukan yang menunjukkan Allah
membenarkan amalan itu.

MASYARAKAT negara ini tidak pernah luput membicarakan poligami. Terbaru, filem Indonesia yang dikatakan mampu menyedarkan keburukan poligami bertajuk ‘Berbagi Suami’ ditayangkan 11 Januari lalu.

Ada pihak menyokong penayangan itu tanpa menilai kesan buruk kehadiran filem berkenaan, manakala pihak lain terus bersikap menutup pintu dan mengatakan poligami ketentuan mutlak dan tidak perlu dibahaskan.

Dari segi tradisi, apabila isu poligami diketengahkan, masyarakat akan menilainya dari pelbagai sudut. Ia sering dikaitkan sesuatu yang menggembirakan, menarik dan menyeronokkan bagi lelaki manakala sangat menakutkan dan memilukan bagi perempuan.

Tambahan pula, dengan liputan media yang sering mengenengahkan kisah sedih pengalaman pahit yang dilalui golongan wanita yang terbabit sehingga beberapa istilah diberikan kepada wanita yang dipoligami sebagai mangsa poligami lelaki, mangsa ketidakadilan lelaki, mangsa kerakusan lelaki dan sebagainya.

Pelaksanaan amalan berpoligami segelintir lelaki yang gagal berlaku adil pula dijadikan kayu ukur bagi menilai kewajaran atau tidak poligami diamalkan.

Oleh itu, ada suara mendesak supaya peruntukan dan kebenaran berpoligami perlu diketatkan bahkan jika perlu dilarang sama sekali di negara ini.

Amalan berkahwin lebih daripada satu adalah lumrah sebelum kedatangan Islam. Ia juga amalan kaum lain di seluruh dunia.

Istilah poligami ditakrifkan perkahwinan yang mempunyai lebih daripada seorang pasangan sama ada lelaki atau perempuan pada satu masa.

Ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu poliandri dan juga poligini. Poliandri merujuk kepada wanita yang mempunyai ramai pasangan lelaki manakala poligini pula seorang lelaki yang mempunyai pasangan wanita lebih daripada seorang. Apa yang berlaku dalam masyarakat kita, istilah poligami lebih popular dan secara umum difahami merujuk kepada seorang suami yang mempunyai lebih seorang isteri berbanding dengan penggunaan poligini.

Keharusan berpoligami dalam Islam didasarkan kepada ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim, maka berkahwinlah dengan siapa yang kamu suka daripada kalangan perempuan-perempuan lain: dua, tiga atau empat. Kemudian kalau kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka kahwinilah seorang sahaja.”

(An-Nisa’ 4: 3)

Ayat ini dalil terkuat keharusan berpoligami. Ia secara jelas dan terang tanpa perlu berfikir lagi menyatakan seseorang lelaki dibolehkan berkahwin dua, tiga atau empat pada satu masa. Namun begitu, jika seseorang lelaki itu bimbang tidak dapat melayani semua isterinya secara adil, maka berkahwinlah dengan seorang perempuan sahaja.

Keharusan amalan ini juga berdasarkan kepada hadis Rasulullah yang memerintahkan sahabat yang baru memeluk Islam sedangkan mereka mempunyai lebih daripada seorang isteri sebelum memeluk Islam supaya memilih empat sahaja daripada mereka. Di antaranya Ghailan bin Salamah, Qais bin al-Harith dan Naufal bin Muawiyyah.

Islam tidak mengharamkan poligami dan tidak menggalakkan atau menyuruh umatnya melaksanakannya. Ia hanya satu peruntukan yang menunjukkan Allah membenarkan amalan itu. Hammudah dalam bukunya ‘Family Structure in Islam’ melihat poligami lebih kepada ‘voluntary behavioral measure’ berdasarkan atau mengikut kehendak seseorang yang layak sama ada dia ingin melaksanakan atau tidak kebenaran itu. Sesiapa yang berasa layak dan ingin mengamalkan, ia bukan satu kesalahan. Namun, ia tidak pernah dikaitkan dengan sesuatu amalan yang digalakkan dalam Islam atau berkait amalan yang dianjurkan kerana dengan melakukannya boleh meningkatkan iman seseorang.

Ayat kedua berkaitan kebenaran poligami adalah ayat 129 surah al-Nisa bermaksud: “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu) walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian. Kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkapai-kapai.”

Mustafa al-Sibaie dalam membincangkan pengertian adil dalam berpoligami menyatakan ia merujuk kepada kemampuan suami memberi layanan sewajarnya secara adil kepada isteri-isterinya. Suami juga tidak pilih kasih dari segi penyediaan tempat tinggal, pakaian, makanan, giliran bermalam dan dalam semua perkara berhubung pergaulan suami isteri.

Namun, dalam urusan dalaman atau peribadi seperti rasa kasih yang berbeza, gurau senda yang tidak sama dan sebagainya, tidak menjadi syarat di bawah pengertian adil itu. Ayat 3 dan 129 Surah an-Nisa hendaklah dibaca bersama agar kita dapat memahami maksud sebenar.

Ini bermaksud, adil yang disyaratkan dalam ayat 3 itu merujuk tanggungjawab suami ke atas perkara luaran seperti tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, giliran bermalam dan seterusnya. Urusan ini lebih kepada perkara maddi (urusan zahir dan material). Jika isteri pertama dibiarkan hidup susah, menyewa rumah kecil sedangkan anak ramai dan isteri kedua yang baru dikahwini disediakan kehidupan mewah, dibelikan rumah besar dan diberi wang nafkah yang banyak, maka jelas ia berlawanan dengan konsep keadilan yang disebut dalam ayat 3 itu.

Dalam urusan batin pula, ia dianggap terkecuali. Contohnya mungkin suami berasa sayang yang lebih kepada isteri kedua berbanding isteri pertama yang sudah berumur, namun si suami seharusnya tidak melampau dan menunjuk-nunjuk menyayangi satu daripada isteri yang ada, bahkan hendaklah berusaha untuk melayan semuanya sebaik dan seadil mungkin.

Apa yang disyariatkan Allah yang bersifat Maha Mengetahui mempunyai hikmah tersendiri. Begitu juga dengan amalan berpoligami. Kadang-kala disebabkan perlaksanaan silap segelintir lelaki mengamalkan poligami, masyarakat mempunyai persepsi yang salah hingga keharusan berpoligami dalam Islam itu pula turut dipersalahkan.

Kita mengetahui satu sifat Allah ialah Maha Mengetahui. Bahkan Allah menyebut dalam al-Quran ‘Tidak ada yang diciptakan sia-sia’, oleh itu sebagai Muslim, tauhid kita perlu jelas dalam hal ini. Penulis berpendapat, sekiranya seseorang tidak boleh menerima hakikat suami berpoligami, ia berkait kekuatan jiwa menerima ujian itu. Ini sangat berbeza dengan seseorang yang melahirkan bangkangan keharusan berpoligami.

Secara ringkas, antara hikmah poligami ialah:

1. Poligami diharuskan sebagai pembelaan terhadap wanita, terutama wanita tidak berkahwin dan janda. Walaupun pelbagai dakwaan hak yang diperjuangkan, kita tidak dapat lari daripada fitrah kejadian Allah ke atas diri manusia ciptaan-Nya.

Wanita secara semula jadi memerlukan perhatian, kasih sayang dan perlindungan daripada lelaki bernama suami. Bukan kerana mereka akan kecundang dalam hidup apabila tidak bersuami, tetapi kelangsungan dan kesempurnaan hidup tidak sempurna seperti diharapkan melalui fitrah wanita itu sendiri. Apabila bilangan lelaki bertanggungjawab dan sesuai menjadi suami berkurangan kerana pelbagai sebab seperti peperangan, kematian dan lain-lain, poligami boleh dianggap pembelaan kepada wanita.

2. Apabila perkahwinan menghadapi masalah sama ada dirancang atau tidak. Antaranya seperti isteri tidak mampu mengandung sedangkan pasangan ingin keturunan, dalam keadaan ini dengan adanya poligami si suami tidak perlu menceraikan isteri pertama tetapi boleh berkahwin lain demi mendapatkan zuriat.

3. Begitu juga apabila isteri menghadapi masalah tidak mampu melayan naluri suami kerana sebab tertentu seperti sakit, dalam keadaan seperti ini poligami boleh menjadi penyelesaian. Apatah lagi sekiranya kedua-dua pihak masih setia, sayang, simpati dan tidak mahu berpisah. Ini juga boleh menyelamatkan suami daripada maksiat dan zina.

* Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM Shah Alam dan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Cerita BukuMuka

Cari dalam cerita ini