March 06, 2008

Poligami

Hukum poligami dalam Islam: HARUS tetapi TIDAK DIGALAKKAN.

Maknanya boleh, takde masalah tapi kena fikir-fikirkan sebelum meneruskan niat murni tu. Kalau diikutkan nafsu serakah memang boleh saja... tapi cuba fikirkan kewajaran untuk beristeri lebih dari satu berdasarkan artikel di bawah ini.

Memahami poligami
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

Islam tidak mengharamkan poligami, tidak menggalakkan atau menyuruh umatnya melaksanakannya. Ia hanya satu peruntukan yang menunjukkan Allah
membenarkan amalan itu.

MASYARAKAT negara ini tidak pernah luput membicarakan poligami. Terbaru, filem Indonesia yang dikatakan mampu menyedarkan keburukan poligami bertajuk ‘Berbagi Suami’ ditayangkan 11 Januari lalu.

Ada pihak menyokong penayangan itu tanpa menilai kesan buruk kehadiran filem berkenaan, manakala pihak lain terus bersikap menutup pintu dan mengatakan poligami ketentuan mutlak dan tidak perlu dibahaskan.

Dari segi tradisi, apabila isu poligami diketengahkan, masyarakat akan menilainya dari pelbagai sudut. Ia sering dikaitkan sesuatu yang menggembirakan, menarik dan menyeronokkan bagi lelaki manakala sangat menakutkan dan memilukan bagi perempuan.

Tambahan pula, dengan liputan media yang sering mengenengahkan kisah sedih pengalaman pahit yang dilalui golongan wanita yang terbabit sehingga beberapa istilah diberikan kepada wanita yang dipoligami sebagai mangsa poligami lelaki, mangsa ketidakadilan lelaki, mangsa kerakusan lelaki dan sebagainya.

Pelaksanaan amalan berpoligami segelintir lelaki yang gagal berlaku adil pula dijadikan kayu ukur bagi menilai kewajaran atau tidak poligami diamalkan.

Oleh itu, ada suara mendesak supaya peruntukan dan kebenaran berpoligami perlu diketatkan bahkan jika perlu dilarang sama sekali di negara ini.

Amalan berkahwin lebih daripada satu adalah lumrah sebelum kedatangan Islam. Ia juga amalan kaum lain di seluruh dunia.

Istilah poligami ditakrifkan perkahwinan yang mempunyai lebih daripada seorang pasangan sama ada lelaki atau perempuan pada satu masa.

Ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu poliandri dan juga poligini. Poliandri merujuk kepada wanita yang mempunyai ramai pasangan lelaki manakala poligini pula seorang lelaki yang mempunyai pasangan wanita lebih daripada seorang. Apa yang berlaku dalam masyarakat kita, istilah poligami lebih popular dan secara umum difahami merujuk kepada seorang suami yang mempunyai lebih seorang isteri berbanding dengan penggunaan poligini.

Keharusan berpoligami dalam Islam didasarkan kepada ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim, maka berkahwinlah dengan siapa yang kamu suka daripada kalangan perempuan-perempuan lain: dua, tiga atau empat. Kemudian kalau kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka kahwinilah seorang sahaja.”

(An-Nisa’ 4: 3)

Ayat ini dalil terkuat keharusan berpoligami. Ia secara jelas dan terang tanpa perlu berfikir lagi menyatakan seseorang lelaki dibolehkan berkahwin dua, tiga atau empat pada satu masa. Namun begitu, jika seseorang lelaki itu bimbang tidak dapat melayani semua isterinya secara adil, maka berkahwinlah dengan seorang perempuan sahaja.

Keharusan amalan ini juga berdasarkan kepada hadis Rasulullah yang memerintahkan sahabat yang baru memeluk Islam sedangkan mereka mempunyai lebih daripada seorang isteri sebelum memeluk Islam supaya memilih empat sahaja daripada mereka. Di antaranya Ghailan bin Salamah, Qais bin al-Harith dan Naufal bin Muawiyyah.

Islam tidak mengharamkan poligami dan tidak menggalakkan atau menyuruh umatnya melaksanakannya. Ia hanya satu peruntukan yang menunjukkan Allah membenarkan amalan itu. Hammudah dalam bukunya ‘Family Structure in Islam’ melihat poligami lebih kepada ‘voluntary behavioral measure’ berdasarkan atau mengikut kehendak seseorang yang layak sama ada dia ingin melaksanakan atau tidak kebenaran itu. Sesiapa yang berasa layak dan ingin mengamalkan, ia bukan satu kesalahan. Namun, ia tidak pernah dikaitkan dengan sesuatu amalan yang digalakkan dalam Islam atau berkait amalan yang dianjurkan kerana dengan melakukannya boleh meningkatkan iman seseorang.

Ayat kedua berkaitan kebenaran poligami adalah ayat 129 surah al-Nisa bermaksud: “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu) walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian. Kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkapai-kapai.”

Mustafa al-Sibaie dalam membincangkan pengertian adil dalam berpoligami menyatakan ia merujuk kepada kemampuan suami memberi layanan sewajarnya secara adil kepada isteri-isterinya. Suami juga tidak pilih kasih dari segi penyediaan tempat tinggal, pakaian, makanan, giliran bermalam dan dalam semua perkara berhubung pergaulan suami isteri.

Namun, dalam urusan dalaman atau peribadi seperti rasa kasih yang berbeza, gurau senda yang tidak sama dan sebagainya, tidak menjadi syarat di bawah pengertian adil itu. Ayat 3 dan 129 Surah an-Nisa hendaklah dibaca bersama agar kita dapat memahami maksud sebenar.

Ini bermaksud, adil yang disyaratkan dalam ayat 3 itu merujuk tanggungjawab suami ke atas perkara luaran seperti tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, giliran bermalam dan seterusnya. Urusan ini lebih kepada perkara maddi (urusan zahir dan material). Jika isteri pertama dibiarkan hidup susah, menyewa rumah kecil sedangkan anak ramai dan isteri kedua yang baru dikahwini disediakan kehidupan mewah, dibelikan rumah besar dan diberi wang nafkah yang banyak, maka jelas ia berlawanan dengan konsep keadilan yang disebut dalam ayat 3 itu.

Dalam urusan batin pula, ia dianggap terkecuali. Contohnya mungkin suami berasa sayang yang lebih kepada isteri kedua berbanding isteri pertama yang sudah berumur, namun si suami seharusnya tidak melampau dan menunjuk-nunjuk menyayangi satu daripada isteri yang ada, bahkan hendaklah berusaha untuk melayan semuanya sebaik dan seadil mungkin.

Apa yang disyariatkan Allah yang bersifat Maha Mengetahui mempunyai hikmah tersendiri. Begitu juga dengan amalan berpoligami. Kadang-kala disebabkan perlaksanaan silap segelintir lelaki mengamalkan poligami, masyarakat mempunyai persepsi yang salah hingga keharusan berpoligami dalam Islam itu pula turut dipersalahkan.

Kita mengetahui satu sifat Allah ialah Maha Mengetahui. Bahkan Allah menyebut dalam al-Quran ‘Tidak ada yang diciptakan sia-sia’, oleh itu sebagai Muslim, tauhid kita perlu jelas dalam hal ini. Penulis berpendapat, sekiranya seseorang tidak boleh menerima hakikat suami berpoligami, ia berkait kekuatan jiwa menerima ujian itu. Ini sangat berbeza dengan seseorang yang melahirkan bangkangan keharusan berpoligami.

Secara ringkas, antara hikmah poligami ialah:

1. Poligami diharuskan sebagai pembelaan terhadap wanita, terutama wanita tidak berkahwin dan janda. Walaupun pelbagai dakwaan hak yang diperjuangkan, kita tidak dapat lari daripada fitrah kejadian Allah ke atas diri manusia ciptaan-Nya.

Wanita secara semula jadi memerlukan perhatian, kasih sayang dan perlindungan daripada lelaki bernama suami. Bukan kerana mereka akan kecundang dalam hidup apabila tidak bersuami, tetapi kelangsungan dan kesempurnaan hidup tidak sempurna seperti diharapkan melalui fitrah wanita itu sendiri. Apabila bilangan lelaki bertanggungjawab dan sesuai menjadi suami berkurangan kerana pelbagai sebab seperti peperangan, kematian dan lain-lain, poligami boleh dianggap pembelaan kepada wanita.

2. Apabila perkahwinan menghadapi masalah sama ada dirancang atau tidak. Antaranya seperti isteri tidak mampu mengandung sedangkan pasangan ingin keturunan, dalam keadaan ini dengan adanya poligami si suami tidak perlu menceraikan isteri pertama tetapi boleh berkahwin lain demi mendapatkan zuriat.

3. Begitu juga apabila isteri menghadapi masalah tidak mampu melayan naluri suami kerana sebab tertentu seperti sakit, dalam keadaan seperti ini poligami boleh menjadi penyelesaian. Apatah lagi sekiranya kedua-dua pihak masih setia, sayang, simpati dan tidak mahu berpisah. Ini juga boleh menyelamatkan suami daripada maksiat dan zina.

* Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM Shah Alam dan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

2 comments:

Normala said...

Yuup..byk hikmah berpoligami...

Shh said...

hmmmm... sudah terasa kenikmatan berpoligami ke cik mala...???

Cerita BukuMuka

Cari dalam cerita ini