June 25, 2008

Biar mati berkapankan kain cindai daripada berkain kadut

Dosa boleh berlaku secara menegak iaitu yang berkaitan hubungan dengan Tuhan dan boleh berlaku secara mendatar, berkaitan hubungan sesama manusia. Dalam pergaulan hidup sehari-hari sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak.
Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda. Persoalannya, jika dosa dengan Allah boleh diatasi dengan beristighfar dan taubat, bagaimana pula untuk menebus dosa sesama manusia.

Seperti seorang itu wajib bertaubat kepada Allah, manusia juga wajib bertaubat daripada dosa membabitkan sesama manusia. Ulama menggariskan tiga syarat taubat iaitu memohon keampunan dengan beristighfar, menyesali perbuatan lalu dan bertekad untuk tidak mengulanginya.

Apabila dosa tadi berkaitan dengan manusia, maka wajib meminta maaf dan mengembalikan haknya. Jika kita mengambil hartanya (curi, pecah amanah, melalui jalan tidak jujur) hendaklah kita mengembalikan setiap sen daripadanya kecuali dia menghalalkan.

Jika membabitkan maruah diri seperti difitnah, dizalimi, dianiaya, maka wajib satu pengakuan terbuka dibuat untuk membersihkan namanya. Ia termasuk melunaskan apa juga tuntutan ganti rugi akibat kesusahan menimpanya seperti hilang mata pencarian kerana diaibkan.

Jika membabitkan jenayah, maka dalam Islam sudah ada peruntukan dalam bentuk qisas dan takzir. Kesalahan itu termasuk jenayah membunuh, mencederakan dan memperkosa.

Bagaimana jika seseorang itu tidak sedar dia sudah melakukan kesalahan dan berdosa kepada orang lain. Di sinilah kita perlu memohon maaf dan sentiasa memaafkan orang lain kerana manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan.

Kadang-kala perkataan atau perbuatan kita menyinggung perasaan orang lain sedangkan kita tidak bermaksud untuk melukakan hatinya. Mungkin seseorang itu salah faham dengan apa yang kita hendak sampaikan.

Kerana itu dituntut untuk memohon maaf sesama insan terutama yang berada dalam lingkungan pergaulan kita (keluarga, sanak-saudara, rakan dan kenalan), walaupun kita tidak berasa pernah melakukan kesilapan dengannya. Kemudian kita dituntut untuk sentiasa memaafkan orang lain.

Ia berdasarkan kisah seorang sahabat di zaman Rasulullah SAW yang disebut sebagai ahli syurga. Sahabat lain tidak melihat apa-apa kelebihan pada sahabat itu sehingga dia disebut sebagai calon ahli syurga.

Apabila ditanya apakah amalannya, sahabat itu mendedahkan bahawa setiap kali sebelum melelapkan mata dia memaafkan orang lain dan berlapang dada terhadap mereka.

Kisah itu memberi iktibar kepada kita supaya sentiasa memaafkan kesalahan orang pada kita, maka Allah akan mengampunkan semua dosa kita pada orang lain termasuk yang tidak kita sedari atau tidak disengajakan. Bak kata pepatah Inggeris, ‘kemaafan adalah pembalasan dendam yang terbaik’.

Memohon maaf kepada orang yang tidak dapat ditemui lagi atau sudah meninggal dunia, dalam situasi seperti itu hendaklah kembali kepada Allah. Serahkan urusan itu kepada Allah semoga keinsafan dan penyesalan untuk memohon maaf didengari Allah dan melepaskan kita daripada bebanan dosa berkenaan.

Kemudian hendaklah seseorang itu berusaha menjejaki keluarga atau warisnya jika ia membabitkan pengambilan harta secara tidak hak dan kembalikan harta itu kepada warisnya. Jika warisnya tidak ditemui maka sedekahkan kepada mana-mana badan dakwah dan kebajikan.

Semoga Allah menerima sedekah sebagai penebus dosa. Hendaklah memperbanyak kerja kebajikan dan kebaikan seperti bersedekah, menyambung silaturahim dan melakukan kebajikan yang membawa manfaat. Satu daripada langkah orang yang berdosa selepas bertaubat ialah menutup kesalahannya atau menyusulinya dengan perbuatan yang baik.

Dalam konteks insan lain yang tidak dapat ditemui atau sudah meninggal dunia, alim ulama kontemporari berpendapat antara lain yang perlu dilakukan ialah memperbanyakkan doa supaya Allah mengampuni dosa mereka.

Allah menjanjikan antara doa yang makbul ialah doa daripada seorang saudara kepada saudaranya yang lain tanpa pengetahuannya. Malaikat juga akan mengaminkan doa kita. Berdoa kepada Allah memberikan seperti yang kita doakan untuk saudara kita.

Harapan kita ialah apabila terampun dosa mereka, maka tidak ada lagi bebanan dosa yang akan terpindah kepada kita di hari akhirat kelak. Begitulah antara tanda kasih dan sayangnya Allah kepada hamba-Nya.

RUMUSAN
Melakukan dosa sesama manusia
# Manusia wajib bertaubat daripada dosa dengan Allah dan sesama manusia.
# Jika dosa berkaitan dengan manusia, maka wajib meminta maaf dan mengembalikan haknya.
# Jika membabitkan harta seperti mencuri, pecah amanah dan sebagainya wajib dikembalikan setiap sen yang dicuri kecuali dihalalkan.
# Jika membabitkan maruah diri seperti difitnah, dizalimi atau dianiaya, wajib membuat pengakuan terbuka untuk membersihkan nama mangsa.
# Islam memperuntukkan qisas dan takzir bagi kesalahan jenayah.
# Jika tidak sedar dosa dilakukan, maka dituntut memohon maaf dan memaafkan orang lain.
# Mohon maaf kepada Allah jika tidak berjumpa dengan orang yang kita lakukan dosa. Cari waris untuk mengembalikan harta jika membabitkan jenayah harta.

oleh Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dan Amir Razelan Adnan.
disalin dari www.bicarakalbu.blogspot.com

No comments:

Cerita BukuMuka

Cari dalam cerita ini