December 31, 2009

di ambang 2010

dua minggu lepas, kita baru je sambut tahun baru hijrah.

satu jam dari sekarang, masuk tahun baru masehi 2010. Masa masuk pukul 12mlm ni, aku sepatutnya dah ada atas laut cina selatan. terbang balik ke semenanjung dari sabah. bakar bunga api dalam kapal terbang nanti. he he he.

akhirnya siap juga kerja yang sepatutnya dah dibuat lama dulu. alhamdulillah. selesai akhirnya betul2 di akhir tahun 2009. moga kesudahan yang baik ini akan menjadi permulaan yang baik juga untuk tahun 2010. insyaAllah.

Selamat tahun baru.

December 17, 2009

Selamat Berhijrah

Doa Akhir Tahun
( Dibaca selepas solat asar)

Maksudnya : Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhamad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya.

Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku.

Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu. Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhamad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.


Doa Awal Tahun
( Dibaca selepas solat maghrib )



Maksudnya : Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhamad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami.

Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari Syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.
Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhamad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

December 11, 2009

Wali 10

Alhamdulillah. 5 Disember 2009, sempurnalah majlis perkahwinan adik perempuan aku yg no 2 bongsu. Pada asalnya aku ingat yang nak nikahkan, tapi saat akhir aku serahkan pada tok imam. Bukan apa.. nanti nampak macam main2 pulak sebab aku dengan adik ipar aku tu tak banyak beza dari segi umur.. macam kawan2 nikahkan pulak jadinya.. he he he (perasan kan...)

Gambar tak ada sebab aku boleh tertinggal kamera. Padahal aku dah letak atas rak depan pintu. Sudahnya, sampai Melaka baru perasan tertinggal. Takkan nak patah balik. Mujur la diorg ada tukang gambar rasmi. Aku guna kamera bertalipon isteri aku punya je.. ok gak apa.. pun takleh uplod sebab tak sempat salin gambar tu, isteri aku dah bawak gi ke malaysia timur.

Apa yang aku nak kongsi ialah pesan pak imam pada pengantin khususnya dan pada tetamu yang ada kat situ amnya.

Untuk mencapai kebahagiaan dalam berumahtangga, ada beberapa perkara penting yang perlu selalu diamalkan. Antara yang paling penting; jangan tinggal solat fardu dan selalu amalkan baca quran kat rumah. Solat itu wajib fardu ain. Kalau isteri lalai, suami tolong ingatkan dan begitulah juga sebaliknya.

Selain itu, tanamkan azam supaya sekurang2nya seorang anak yang bakal lahir nanti menjadi seorang yang hafal al-quran. Seorang hafiz diberi kelebihan untuk membawa ahli keluarga ke syurga sekalipun yang sudah berada di neraka. Api neraka tidak akan menyentuh seorang hafiz.

Sama-samalah kita amalkan. Insya-Allah.

December 08, 2009

Kain tidak berjahit


Kematian adalah benar dan pasti terjadi serta akan dialami oleh segala yang bernyawa. Sebagaimana firman Allah :

كُلُّ نَفسٍ ذائِقة الـْمَوت

“Tiap-tiap yang bernyawa pasti mati” (Al-Anbiya:35)


Pagi tadi aku rasa nak hantar anak2 aku lambat sikit ke rumah mentua. Tiba2 dapat pesanan ringkas dari Hj. Mustafa. Ayah kepada salah seorang ahli lorong meninggal dunia.

Aku terus siap2 lepas tu hantar anak2 aku. Kemudian aku balik semula terus ke rumah Sdr. Nuruddin. Masa tu diorang dah siapkan tempat mandi jenazah. Aku tolong apa yang mampu sampailah selesai jenazah dikapankan. Kemudian sama2 bersolat untuk jenazah.

Kemudian kenderaan jenazah UKM sampai untuk membawak jenazah ke Parit Buntar. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

Diceritakan bahawa aruah meninggal dalam tidurnya. Tak siapa pun tahu waktu kematiannya. Masa dikejutkan untuk sembahyang subuh, aruah dah terbujur kaku.

Ingatan kepada diri sendiri. Kematian datang bila-bila masa. Bersedialah!

December 07, 2009

Jangan membuka aib orang

Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda,

يَامَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَـانِهِ وَلَمْ يَدْخُلِ اْلإِيْمَانُ قَلْبَهُ لاَيَغْتَابُوا الْمُسْلِمِيْنَ وَلاَتَتَّبِعُوْا عَوْرَاتَهُمْ فَإِنَّهُ مَنْ تَتَّبِعْ عَوْرَةَ أَخِيْهِ الْمُسْلِمِ تَتَّبِعِ اللهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ تَتَّبِعِ اللهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فىِ جَوْفِ بَيْتِهِ

“Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau sekalian mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya.” (HR Abu Daud dan Tirmidzi)

December 03, 2009

Orang kasi aku ambik


Pagi tadi masa lalu kat rumah tol kajang, pandang belah kiri ada papan tanda, "Dapatkan rebat 20% anda di sini". Hwaaa.. menarik jugak nih... satu hari aku masuk tol je 4 kali kalau hari kerja, seminggu dah 20 kali. Maknanya hari kerja je dah cecah 80 kali.. masuk jalan-jalan hari cuti dah tentu lebih 80 kali.

Singgah la kat kaunter TnG situ.

Aku: Assalamualaikum. Saya nak tuntut rebat tol ni.
Puan Kaunter: Claim boleh buat lepas 5 haribulan. Bak sini kad tu.

Puan Kaunter meletak kad aku atas mesin pengimbas.

Puan Kaunter: Haaa.. yang ini untuk bulan 10 ye encik. Bulan 11 punya lepas 5 haribulan nati baru boleh.
Aku: Baik. Terima kasih.

Aku ambik resit. Dapat rebat RM79.00.. maknanya sebulan je dekat2 RM400 aku kena bayar tol. Tu diaaa... Boleh la... orang nak bagi, ambik je la kan.. lepas gak duit tol aku balik kampung minggu ni.

November 23, 2009

Potong!


Alhamdulillah. Semalam buat kenduri tahlil dan doa selamat selepas hari sabtu selesai 'potong' si Hakim. Siap buat 'piss' lagi masa ambik gambar. Sebenarnya gambar ni bukan kat tempat dia kena potong, tapi kat klinik lain. Sebabnya, aku yang pitam masa temankan Hakim time tu. Sepatutnya bagi semangat kat anak.. ha.. ha ha..

Tak tau sebab apa.. bukan aku tak pernah tengok darah pun... macam2 pesen orang eksiden aku dah tengok.. ok je.. nak jadi citer la katakan...

November 04, 2009

Mambang di Awan



Dapat juga aku merasa naik kunang-kunang (fireflyz) setelah cubaan pertama gagal. Bukan apa.. saja nak rasa.. dah lama tak naik fokker. Masa kat sabah dulu selalu gak.. tapi skrg pun kalau gi sabah.. takde naik fokker dah.. sama ada drive terus sampai site atau direct naik boeing sampai tawau.

Fokker kunang-kunang ni katanya model baru berbanding maswing kat sabah tu.. aku rasa lebih kurang je pun. Kipas dia lain sikit.. lepas tu naik turun ikut pintu belakang... sapa2 yg duduk depan sekali, paling lambat keluar..



Pagi tadi sarapan kat hotel. Aku antara yang terawal.. pukul 6.30pagi aku dah masuk kafe tu.
sebabnya flight aku tadi pukul 8.20 pagi... sampai subang dalam kul 9.10.. banyak lagi masa nak tunggu sampai petang.. dah tak tau nak ngulor ke mana.... masuk la opis.. ha ha ha ha...
Lunch kat cyberjaya.. dinner kat mana pulak agaknya.. bangi kot!



Semalam petang lepas abih kerja, lepak kat belakang airport KT tu.. yang dekat pantai tu haa.. pekena makanan laut... udang besar segar, sotong, ikan, kerpok leko... dan air mangga yang sedap... huhuhu... puas hati lah... rasa mcm overdose protein...

October 19, 2009

30 Syawal 1430

Malam kemarin, ada majlis sambutan hari raya kat lorong rumah aku. Menu macam biasa ayam/daging/binatang laut bakar... kalau nak glemer dipanggil babekue dan satu lagi menu wajib iaitu sup! Kali ni sup tulang.. makan dengan mi siam.. jadi la sup mi siam. Gambar!?.. takde.. aku malas nak ambik gambar.. macam bagus je ambik gambar time ada majlis nih.. lagipun malam.. kamera aku memang gagal kalau ambik gambar dengan kekurangan cahaya ni.

Sambil tu ada jugak keputusan pengundian ahli jawatankuasa baru lorong. Undi pos pulak kali ni. Aku punya undi kena kat pengerusi dengan bendahari je.. yang lain semua out...

Pengerusi baru berkobar2 la nak gerakkan balik aktiviti lorong yang dah lama malap... bacaan yasin dari rumah ke rumah setiap minggu. Siap macam perwakilan pkmb lah berucap kat depan tu... mesej yang paling utama aku rasa untuk ahli2 yang selalu tak join aktiviti lorong kot... aku kena la tempias sikit2.. tapi untuk yang tak ada manjang.. tak sampai la mesej tu sebab time tu pun dia takde.. yang ada kat situ tu.. memang ahli2 biasa yang ada la pak aji .. abih camno...

Kendiannya... penasihat lorong pulak.. alfadhil ustaz menyambung acara.. benda yang sama la jugak.. cuma ada la kan keluar hadis2 nabi sikit.. ustaz kena la cakap macam tu...

Aku sokong je kalau aktiviti yang dibuat tu untuk kebaikan bersama.. cuma kenkadangnya aku tak dapat join kalau dibuat time hari kerja... takkan nak kata, "aih.. orang lain boleh.. apasal kau tak boleh?". Orang lain tu lain kerjanya, bukan dia buat kerja aku.. aku buat kerja aku... bukan buat kerja orang lain tu.. mana sama!

October 06, 2009

Jika lampu isyarat tidak berfungsi, sila perhatikan isyarat tangan


Dua hari sebelum satu Syawal, aku gi Shah Alam ambik adik aku. Tengah sesak2 nak masuk bulatan Kayangan atas lebuhraya persekutuan tu.. tak semena-mena sorang mat despatch dah langgar belakang kereta aku. Aku nampak gak dari cermin pandang belakang tu motor tu nak sampai , tak laju mana pon. Tau2 bedentum kat belakang. Ntah kan ngantuk, penat sangat puasa, atau saja2 nak cari pasal.. aku tak tau...

Aku keluar2 keta je ingatkan nak marah la kan.. tengok2 mat tu tangan dah berdarah2 sampai menitis atas jalan pulak tu. Aiseh.. tak jadi la pulak aku nak marah. Tengok2 kat belakang keta aku tu pun ada darah dia jugak... Bumper aku pulak dah la pecah sikit, lampu belakang pun sudah pecah.

"Sori la bang.. saya tak sempat buat apa tadi. Tak sempat elak.", pandai pulak tu buat penyataan penafian. Sudahnya, habis gitu je. Aku pun malas citer panjang. Aku nak nganto gi klinik takmau. Aku tunggu la jugak sampai member dia ambik ngantornya gi klinik. Aku pun terus la tugas aku yang tergendala tadi.

Aku ushar2 kedai potong, takde la pulak lampu nih. Pegi kedai spare-part tanya harga... boleh tahan gak la...
"Bos, kalau Taiwan punya RM125. Oliginal punya RM225.. mau ka?".
"Second-hand takde ke?".
"Ini model takda la".
"Hmmm... tak mau la. Saya cari tempat lain."

Sampai sekarang aku tak cari lagi...

September 28, 2009

kamera digital



Assalamualaikum.

Sambutan hari raya aidilfitri dah berlalu. Tapi masih ada yang mengadakan acara rumah terbuka terutama pada hari sabtu dan ahad nanti. Selagi masih bulan Syawal, masih dikira raya. Tak salah nak bersedekah dengan cara menjamu tetamu yang datang asalkan niat tu kena betul dan tidak membazir. Silap2 ada yang terlajak sampai bulan Zulkaedah. Tak salah juga asalkan kaedahnya betul.

Salah satu acara wajib di hari raya sudah tentunya ialah sesi fotografi. Bukan selalu nak kompol2 satu keluarga ramai2 pakai baju cantik2 kan... nak tunggu kenduri kawin, entah berapa tahun sekali.. kalau ada kematian... takkan nak sesi fotografi pulak kan... ada pulak yang kena kapankan sekali dengan aruah.. lagipun kan time tu pakai baju ala kadar je.. jadi masa yang paling sesuai.. raya lah harinya.

Zaman sekarang ni pulak, boleh katakan dalam satu keluarga tu sekurang2nya ada satu kamera digital. Kalau tak pun telefon tangan yang ada kamera. Kalau tak brand dan model yang hebat2 sekalipun, ada la yang cap yang tak glemer asalkan boleh ambik gambar digital bukan bikin filim ya incik. Boleh nak edit gambar, boleh tengok hasilnya dulu sebelum dicetak. Kalau guna filem, tak nampak hasilnya terus. Sekali dah cuci baru la tau senget ke, pejam mata ke, posing tak sesuai ke... nasib la kan...

Arituh, on da way aku balik ke rumah dari kampung, isteri aku duk mengreview gambar2 dalam kamera digital aku tu lah... anak aku yang kecik sekali pun sibuk la nak tengok jugak.. last2 wife aku pun lelap la pulak (sudah menjadi kebiasaan bagi isteri2 tidur sewaktu suami sedang memandu tak kira di mana jua anda berada)... sedar2 anak aku tu bising2 kan ntah apa la agaknya.. rupa2nya dia sudah format kad ingatan kamera tu... habih semua gambar dalam tu.. huhuhu... so.. pot pet pot pet la wife aku tu... nak buat lagu mana kan.. dah jadi.. aku nak marah pon tak bley sebab aku tak nengok apa anak aku tu buat... salah sendiri la...

Sampai je kat rumah.. dengan segera aku cabut kad ingatan tu, masuk dalam buku nota aku. Aku guna la kepandaian yang ada mengrecover data yang ada dalam tu. Mujur la dapat balik.. hahahaha.. semua sekali yang dulu2 pun ada sekali.. mujur takde yang terlampau.. kalau idak kantoi...!!

September 27, 2009

Salam Eidulfitri 1430H/2009M

Assalamualaikum.

Salam Eidulfitri kepada semua. Kepada saudara2 yang menhantar 'sms' ucapan Hari Raya, harap maaf kalau ada yang ter'miss' untuk dibalas. Dari malam raya pertama sampai raya ketiga masih ada lagi ucapan yang sampai bertalu-talu.

Di ruang siber ini, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Harap maafkan kalau ada salah dan silap di mana2.

Semoga hari bahagia ini disambut dengan penuh kesyukuran atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah subhanahuwataala.

Terima kasih.

Shuhaimi Hamdi
Sharifah Zarina Syed Umar
Wan Muhammad Hakimi
Wan Elynna Husna
Wan Muhammad Haziq

September 04, 2009

Umrah dan Ziarah 1430 Hijrah

Kali ni, aku cuma nak kongsi pengalaman yang berbeza dari apa yang ada sewaktu Umrah dan Ziarah sebelum ini.

Kali ini baru aku merasa tersangkut kat imigresen masa nak masuk ke Arab Saudi di airport. Orang-orang dari belah2 afrika, asia barat sampai la ke benua india ni, tak reti nak beratur. Main serbu macam nak beli ikan kat pasar malam.

Masa ni sebahagian dari grup kitorg tengah berusaha untuk mengekalkan barisan. Kejap2 ada la pak arab dari mana ntah pegi depan, konon nak tengok apentah, ak gi jamban la kononnya... alih2 masuk barisan.. hampeh tul... kitorang bising2 gak la kan.. lagi2 mat nigger yg baju kelabu tu.. kalau nampak org masuk depan.. punya bising.. kat depan kitorg ada lagi sorg pak arab yang bising2 kalau ada org potong barisan.. so agak selamat la kononnya. Tapi, sudahnya mat niger tu pulak yang potong barisan sebab kununnya dia kata kitorg bagi member masuk depan.. dasar belit la diorg nih..

Ada 3 kaunter lagi kat pintu yang ni. Tengok la diorg, mana beratur. Lepas tu duk gaduh2 la pulak depan tu. Makanya, pegawai imigresen arab saudi ni buat tak tau je selagi diorg tak beratur. Ada jugak yang macam berkhemah kat situ, aku pun tak tau diorg tungu apa. Ada la dalam 2 jam aku dengan sebahagian dari grup kitorg menunggu baru la lepas. Walaupun dalam barisan tu tak sampai pun doploh orang kat depan. Sabor je lah... Sebahagian lagi yang nak masuk kat kaunter lain masih tak lepas lagi. Diorg pun masuk la kat barisan belakang kitorg yang maintain berbaris tadi tu... jalan la jugak walaupun slow berbanding kaunter lain yang tak jalan langsung.

Lepas je dari kaunter imigresen tu, terus la kitorg cari beg masing2. Separuh dari grup masih sangkut lagi. Kitorg tolong la cari beg diorg berdasarkan pada tag dan nama kat beg tu. Yang masalahnya beg dah bersepah kat situ sebab dah kena campak merata. Camna tak kena campak, flight makin banyak sampai, maknanya beg pun makin banyak masuk, tapi orang tak boleh keluar sebab masih sangkut kat imigresen. Pekerja yang angkut beg ni pun tadak sopan santun punya. Main humban je beg tu.. sampai ada yang berterabur isi pun ada... Dapat la jugak kumpul beg semua. Masalah lagi sebab tadak tempat nak parking.. beg makin banyak.. orang masih tak muncul... camno.. mula la org airport halau kitorg.. tolak la jugak beg2 tu sana sini kunun2 macam nak keluar... tapi tak boleh gak sebab tunggu geng2 bas sekolah yang masih belum lepas.

Empat jam lepas tu.. baru la selesai semua geng kitorg... pergh... habis usia remaja duk menunggu macam tu je.. maknanya enam jam baru lepas semua sekali. Masa tu dah pukul 11 malam kot tak silap aku la... berbondong2 la kitorg pegi ke bas yang dah menunggu sejak petang tadi. Terus la perjalanan ke kota Madinah. Enam jam lagi...

Kitorg sampai kat Madinah waktu matahari dah terbit. Hotel Al-Fayroz tempat penginapan kami jaraknya lebih kurang 50M dari pintu pagar no 25 masjid nabawi.

Ini le ropanya depan Hotel Al-Fayroz, Madinah.

Masa ni masing2 duk berehat menunggu kunci bilik. Nak berehat la kan lepas perjalanan yang panjang.

Ini la rupa dalam bilik kami

Lepas rehat kejap, terus kami dua orang pergi sendiri buat ziarah ke makam Rasulullah s.a.w. di masjid nabawi. Isteri aku tak sabar2 lagi nak ke raudah. Alhamdulillah, dapat masuk pagi tu.


Rupanya pasar kurmak ni dekat je dengan masjid nabawi. Lebih kurang dalam 200 meter kot. Ziarah yang lepas, diorg tak bawak gi sini pun. Maka kami memborong makanan kat kedai kurma tu secara berjamaah.



Ini buah kurma yang masih atas pokok. Bukan kat pasar kurma tu ye.. yang ini kami pergi kat kebun kurma kat tempat lain. Shopping ala-ala kurma pusingan kedua lepas ziarah ke masjid Quba.

Aku rasa macam tourist guide pulak kat sebelah ustaz2 ni ha... hahahah.. Masa ni kat Bukit Uhud, kat belakang tu makam Saidina Hamzah.

Ini masjid Ghamamah (kalau tak silap aku, lupa la pulak Ustaz Kamal cakap aritu), tempat hukuman hudud dijalankan di Madinah. Terletak berhampiran dengan masjid nabawi.

1 Ramadhan di Arab Saudi sama dengan di Malaysia iaitu pada 22 Ogos. Pagi tu kami bersahur di Madinah dan kemudian bertolak ke Mekah untuk menunaikan ibadah umrah yang pertama kali ini. Sampai di Mekah lepas masuk waktu solat zuhur. Selesai bertahalul sebelum berbuka puasa hari tu. Alhamdulillah.

Sama seperti ziarah sebelum ini, lawatan adalah ke jabal thur (kali ni berenti kat sini), padang arafah, jabal rahmah, mina dan Ja'ranah untuk berniat umrah yang kedua. Rancangan nak ke Hudaibiah dibatalkan sebab tak dapat pelepasan kerajaan Arab Saudi untuk melawat ke kilang kelambu kaabah. Sudahnya, untuk umrah ketiga kami pergi ke Tana'em. Kali ni kami mendaki la jugak jabal Rahmah sampai ke puncak. Sepanjang tangga dan di sekeliling batu peringatan di puncak jabal Rahmah ni penuh dengan orag berniaga barang2 cenderahati seperti tasbih, tudung, pakaian dan lain2. Ramai juga peminta sedekah yang kebanyakannya cacat anggota sepanjang tangga ni. Salah seorang tu aku nampak cuma telentang kat atas tangga tanpa tangan dan kaki. Maha suci Allah.

Di jabal Thur terletaknya gua di mana Nabi Muhammad s.a.w dan Saidina Abu Bakar bersembunyi dari orang kafir Quraish yang nak membunuh baginda sebelum berhijrah ke Madinah.

Isteri kesayangan hamba bergambar kenangan dengan Ka'bah untuk kali terakhir selepas tawaf widak sebelum bertolak ke Jeddah.

Aku jua...

Pagi Jumaat 28 Ogos 2009, kami melaksanakan tawaf widak. Selamat tinggal kepada baitullah. InsyaAllah kami akan berusaha untuk kembali ke sini lagi suatu hari nanti. Sebelum ke airport Jeddah, kami melewati masjid qisas tempat hukum hudud dijalankan di jeddah dan seterus nya ke masjid terapung untuk menunaikan solat Jumaat.
Masjid Qisas, Jeddah

Perjalanan balik ke Kuala Lumpur bukan penerbangan terus dari Jeddah ke KLIA. Kami transit selama 8 (LAPAN) jam di Cairo. Pada asalnya kami dimaklumkan akan disediakan tempat berehat dan makanan di Cairo sementara menunggu. Entah di mana silapnya, semua tu takde pon. Sudahnya kami berkampung di airport!

Berkampung kat airport Cairo

Punya la sejuk dalam tu, tak tahan aku. Makanan dan minuman pon mahal giler.. Ada ka patut.. sebotol air putih 50ml harganya 20 geneh. Kalau convert ringgit lebih kurang rm17.50... huhuhuhu... Nasik dengan lauk daging/ayam masak tumis (aku tak tau la apa nama masakan ni)... 60 geneh. Kami takde la makan atau minum kat sini sebab duit yang tinggal RM je.. yang geneh tinggal 2 keping je... nak beli air kosong pun tak lepas.


Berhenti sekejap di Mumbai... Rumah setinggan kelihatan di keliling kawasan airport.

Tunggu punya tunggu punya tunggu... dalam pukul 3.50 pagi mesir, berangkatlah kami balik ke Malaysia. Singgah kejap kat Mumbai sebelum meneruskan perjalanan dan sampai di KLIA pukul 10 malam waktu Malaysia.

Alhamdulillah.

September 01, 2009

Ziarah ke Mesir


Alhamdulillah. Kami selamat pergi dan kembali semula. Lepas cuti dua minggu, rasa segar pemikiran. Apatah lagi lepas selesai mengerjakan ibadah umrah.

Bagaimanapun aku takmo cerita banyak pasal umrah dan ziarah ke madinah kali ini sebab ceritanya lebih kurang dengan cerita umrah dan ziarah sebelum ini. Aku cuma nak cerita beberapa hal yang berbeza dari ziarah dari tahun lepas. Yang itu bab lain.

Kali ini aku nak kongsi sedikit pengalaman sewaktu lawatan kami ke Mesir.

Mesir dikatakan bumi nabi-nabi kerana ramai nabi yang diturunkan di sini sebelum nabi Muhammad s.a.w. Bagaimanapun tinggalan sejarah yang agak popular di sini ialah sesuatu yang besar-besar seperti piramid dan juga penjaganya encik spinx. Tidak ketinggalan juga ialah Abu Simbel.

Kami sampai di Kaherah pada awal pagi disambut oleh pemandu lawatan kami Ust. Firdaus dan abangnya Ust. Farhan juga Ust. Aziz. Mereka ini adalah rakyat Malaysia yang sedang menuntut di sini. Disamping menuntut ilmu, mereka juga menyebarkan ilmu kepada kami sebab melancong sambil belajar la katakan.

Tempat pertama yang kami lawati ialah Rumah Wilayah Perseketuan untuk bersarapan.
Rumah ini menempatkan asrama untuk pelajar-pelajar yang berasal dari Wilayah Persekutuan. Bertentangan dengan rumah ini ialah Rumah Pulau Pinang untuk pelajar-pelajar dari Pulau Pinang.

Selesai menikmati sarapan, kami terus dibawa ke Hotel Tiba Piramid di Giza. Sepanjang perjalanan, pemandangan rumah-rumah yang tidak siap kelihatan di kiri kanan jalan. Walaupun tidak siap, rumah-rumah ini ada penghuninya. Malah, penghuninya bukan sahaja manusia, mungkin juga ia adalah kambing ataupun pokok timun! Ya.. mereka berternak dan bercucuk tanam di atas bangunan.


Kedudukan rumah-rumah ini juga sangat padat dan kelihatan tidak teratur. Inilah sistem perumahan bagi golongan kebanyakan di sini. Jumlah penduduk di kota Kaherah ini sahaja ialah 27 juta orang. Lebih ramai dari rakyat Malaysia.


Kami menginap di hotel Tiba Pyramid, Giza. Jarak antara hotel ni dengan kawasan piramid lebih kurang 3 km.
Jalan kat depan hotel

Dalam bilik

Hadapan pintu masuk hotel

Kami dibawak ke kedai minyak wangi kerajaan. Kat sini macam-macam pati minyak wangi ada. Diorang kata, minyak wangi yang mahal-mahal tu pun ambik pati kat sini.

Depan kedai

Masa ni Mat ni tengah demo, minyak wangi mahal ada alkohol. Boleh bakar wooo..



Ini kat kedai kristal Asfour. Macam-macam barang kristal ada kat sini. Dari lampu perhiasan, model bangunan, patung2 comel, aksesori wanita dan lain-lain. Siap duit je... macam2 boleh beli.

Keadaan lalu-lintas kat sini padat, laju dan kelam-kabut. Bunyi hon sentiasa menghiasi pemanduan. Kalau nak naik atau turun bas, kena berlari. Tidak ada bas yang berhenti sepenuhnya, dia cuma akan perlahan je... pejalan kaki juga melintas sesedap rasa kat mana-mana jalan besar atau kecik. Aku yang duduk belakang drebar bas pun rasa banyak kali tekan brek yang tak nampak. Pemandu kat sini memang agresif.

Tempat yang mesti dilawati. Piramid. Di Giza sahaja, ada 3 piramid yang besar. Kalau tak silap ada lebih kurang sepuluh kat sini kot.. tapi yang lain kecik2 je.

Dengan Ustaz Hj Ahmad Shukri dan isterinya sebelum masuk ke kawasan piramid

Ini la keadaan dalam piramid. Mayat piraun dibaringkan kat kawasan rata (belakang akak tudung purple tu). Nak masuk dalam ni kena lalu pintu sempit setinggi lebih kurang 4' dan lebar 3' kot.. aku tak ukur pulak. Masuk ke bawah dengan kecerunan 45 darjah. Kalau nak masuk memang tak boleh jalan steady punya, kena tunduk atau menyengetkan badan. Dalam tempat ni lebih kurang 20 meter kot.

Besor rupanya piramid ni. Tiap satu ketul batu yang membentuk piramid ni pun dah besar. Lebih besar dari kereta. Padu pulak tu. Bayangkan macam mana buruh zaman firaun ni dulu nak ngangkat batu ni. Aku rasa diorang ada teknologi yang lebih canggih dari sekarang ni. Wallahualam.

Dari sini boleh nampak ketiga-tiga piramid terbesar kat kawasan Giza.

Encik Spinx yang dikatakan penjaga kepada semua piramid. Sebahagian hidungnya telah dipecahkan oleh salah seorang pahlawan islam (tak ingat nama dia) untuk menunjukkan bahawa benda ni tak ada kuasa apa-apa pun. Tak ambik gambar dekat, malas nak jalan panas-panas.


Malamnya bersiar-siar menyusuri sungai Nil dengan kapal layar. Macam-macam jenis pengangkutan yang disediakan untuk bersiar-siar kat sungai Nil ni. Yang kitorg naik ni kira sederhana. Ada yang mewah siap ada tempat makan-makan dengan penari goyang gerudi sekali. Yang tu kitorang tak nak la... huhuhuh.. takut...


Kat belakang tu salah satu masjid yang ada dalam Kota Pertahanan Salahuddin Al-Ayubi. Dalam kota ni ada juga muzium pertahanan/tentera, muzium polis dan beberapa buah masjid lagi.

Kawasan kedai makan di hadapan pasar Khan Elkhalili. Air minum mahal gila.. satu tin sampai 10 Egypt Pound atau disebut geneh. 1 geneh lebih kurang 75 sen malaysia kot. Gambar pasar aku tak ambik. Kat pasar ni ada macam-macam barang perhiasan dan cenderahati dijual.

Bangunan kat belakang tu ialah sebahagian dari Universiti Al-Azhar.


Kawasan peranginan terkenal di Mesir ialah Iskandariah atau dalam bahasa omputeh Alexandaria. Perjalanan dengan bas melalui lebuhraya dari Kaherah ke Iskandariah menuju utara mengambil masa kira-kira 2 jam. Bandar ini terletak di persisiran Laut Mediteranean.

Bandar Iskandariah agak bersih dan teratur berbanding Kaherah yang sangat sibuk dan berdebu. Pemandu di sini juga lebih berhemah tapi masih lagi laju dan agresif. Pemandu di Malaysia yang agak ganas di Malaysia pun masih tak boleh lawan majoriti pemandu kat Mesir.. hahahaha... dah budaya diorang macam tu... kasar..

Mesir merupakan sebuah negara republik. Dulu negara ni ada raja, tapi dah digulingkan.

Ini ialah istana raja yang terakhir sebelum digulingkan. Aku tak ingat sapa nama raja ni. Kami diingatkan supaya tidak mengambil gambar di mana ada simbol helang seperti ini kerana ia merupakan larangan. Siapa yang tertangkap akan dipenjarakan beberapa hari serta merta tanpa perbicaraan. Tapi tempat ni dikecualikan. Polis dan tentera bersepah kat seluruh bandar kaherah terutamanya. Ramai yang berpakaian seragam tentera/polis dan ada juga yang berpakaian biasa. Mengkritik kerajaan/presiden adalah satu kesalahan serius dan boleh ditahan serta merta juga tanpa perbicaraan.

Budaya rasuah atau di sini dipanggil 'baksis' adalah suatu yang lumrah di sini. Kalau kat Malaysia, benda ni masih agak sorok-sorok lagi kononnya, di Mesir ia sesuatu yang sangat biasa. Sedekah katanya!

Cerita BukuMuka

Cari dalam cerita ini