September 29, 2008

Diari Umrah dan Ziarah IIX

Hari 8 – Khamis, 11 Ramadhan 1429


Isteri aku berposing dengan latar belakang Jabal Rahmah. Tugu berwarna putih di puncak bukit adalah tempat pertemuan semula Nabi Adam a.s. dan Hawa. Perhatikan notis berwarna hijau yang ditulis dalam bahasa melayu/indonesia.


Kami berposing berhampiran dengan Jabal Nur tempat terletaknya Gua Hira'

Hari ini merupakan hari lawatan yang terakhir untuk kami. Awal pagi lagi dah berangkat ke arah Arafah. Dalam perjalanan kami melalui kawasan Bukit Thur di mana terletaknya gua tempat Nabi Muhammad s.a.w. dan Saidina Abu Bakar r.a. bersembunyi sewaktu orang-orang kafir Quraisy nak membunuh nabi.

Kemudian kami sampai ke Arafah. Berkumpul di Arafah merupakan salah satu dari rukun haji. Di sini juga terletaknya Jabal Rahmah, tempat pertemuan semula Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa di sunia. Di atas bukit tempat titik pertemuan bersejarah itu diletakkan sebuah tugu berwarna putih. Dikatakan bahawa tempat tersebut adalah tempat yang mustajab untuk orang berdoa bagi mendapatkan jodoh, terutamanya yang belum ada jodoh. Kalau dah ada.. sendiri mau ingat lah.. nak tambah lagi ke?? Hehehehe…

Kat sini juga ramai penjaja menjual berbagai barangan cenderahati dan akesori wanita. Ramai juga peminta sedekah di sini. Kami dinasihatkan agar tidak bersedekah walau di bulan ramadhan yang mulia ini sebab kalau dah bagi sorang, nanti berduyun-duyun datang yang lain kat kita. Naya je…

Di sini juga pelawat berpeluang menunggang unta dengan bayaran 5 riyal sekali tonggang. Kalau ambik gambar dengan kamera segera yang diorg sediakan, tambah lagi 5 riyal. Aku tak mau naik unta… gayat. Pengembala2 unta ni pun pandai cakap melayu, “Hajji.. hajji… 5 riyal sekali naik. Suami isteri”. Hua hua hua…

Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Mina dan juga tempat melontar. Tapi tak boleh masuk sebab sedang dalam proses naik taraf. Difahamkan bahawa kerja-kerja naik taraf dijalankan oleh kontraktor dari Malaysia.

Akhir sekali, kami pergi ke tempat miqat iaitu Ja’aranah. Kami yang lelaki menukar pakaian ihram dan berniat di masjid Ja’aranah. Kali ini aku buat untuk arwah ayah aku pulak. Insya-Allah. Kemudian terus bertolak balik ke Makkah untuk menyelesaikan ibadat umrah secepat mungkin. Dalam perjalanan ke Makkah, kami berhenti sekajap berhampiran dengan Jabal Nur tempat letaknya gua Hira’.

Sesampainya di Makkah, aku dan isteri tanpa berlengah lagi terus melaksanakan tawaf. Tak mau bertembung dengan waktu solat zuhur. Lagipun pagi-pagi orang tak ramai, cepat siap. Selepas selesai bertawaf, terus kami melaksanakan sae’i dan bergunting sesudahnya. Kami selesai kesemuanya sewaktu hampir masuk waktu solat fardu zuhur. Kami terus balik ke hotel setelah selesai solat zuhur berjamaah di masjidilharam.

Pada malamnya kami seperti biasa pergi ke masjidilharam untuk menunaikan solat isyak dan tarawikh. Tapi keadaan tak seperti biasa sebab orang lebih ramai dari biasa. Mujur kami sampai cepat, dapat secure tempat duduk dalam saf. Rupanya khamis dan jumaat merupakan hari cuti hujung minggu kat sini. Ramai orang arab dari seluruh pelosok negara arab mengambil kesempatan melaksanakan ibadah umrah dan solat tarawikh di masjidilharam pada bulan Ramadhan kerana pahalanya yang sangat besar. Beruntung sungguh orang kat arab ni kan…

Diari Umrah dan Ziarah VII

Hari 7 – Rabu, 10 Ramadhan 1429.

Hari ini aktiviti bebas lagi. Tak ada lawatan ke mana-mana. Sapa-sapa nak buat umrah lagi kena pegi sendiri kat tempat miqat. Aku dan isteri mengurangkan lagi baki duit riyal yang ada dengan berbelanja di sekitar hotel. Pagi-pagi lagi aku dah call orang-orang yang disayang kat Malaysia bertanya khabar. Pagi kat Makkah, dah tghari kat Malaysia. Kalau call malam, maknanya kat Malaysia dah awal pagi dah.. dah tido diorang.

Petangnya gi masjidil haram pada setiap waktu solat dan solat tarawikh pada malamnya. Nak mencuba-cuba makanan kat negeri arab tak sempat sebab bulan puasa. Malam dah kenyang sebab buka puasa dah disediakan kat hotel.

September 26, 2008

Diari Umrah dan Ziarah VI


Wife aku membelakangkan unta-unta.

Hari 6 – Selasa, 9 Ramadhan 1429.

Hari ini kami akan pergi ke tempat miqat yang ke 2 iaitu Hudaibiyah. Di sinilah dahulunya perjanjian Hudaibiyah dibuat. Dalam perjalanan ke Hudaibiyah, kami singgah di lading ternakan unta. Bukan besar sangat pun ladangnya, kocik je. Ada la dalam 10 ekor unta yang kebanyakannya betina. Unta-unta ni diternak untuk susunya. Menurut ceritanya, susu unta banyak khasiatnya... antaranya membersihkan isi perut. Juga dikatakan elok untuk kaum lelaki. Hati unta pulak boleh dijadikan ubat bagi penyakit asma. Boleh dikatakan unta memang banyak khasiat. Masing2 pakat beli susu onta yang berharga 5 riyal setiap botol (500 ml).

Selepas habis berposing dengan unta, perjalanan diteruskan ke Hudaibiyah. Kat sini ada sebuah masjid yg agak usang. Kami tukar pakaian ihram kat sini dan kemudian solat sunat ihram dan terus berniat ihram untuk umrah. Kali ini aku niatkan bagi pihak arwah mak aku pulak.

Dalam perjalanan balik ke Makkah, kami singgah ke Muzium Harmain. Muzium ni kecik je. Kat sini ditempatkan barang-barang lama dari masjidilharam dan masjid nabi. Antaranya pintu kaabah, mimbar nabi, penutup telaga zam-zam dan lain-lain. Tapi nak masuk kat situ kena mintak kelulusan kerajaan Arab Saudi dulu, bukan boleh masuk macam muzium Negara tu. Dah la gitu… kalau dia pagi lessen pukul 10.00 pagi, kena masuk time tu je.. tak boleh tercepat atau terlambat. Ntah apa pesen ntah…

Abih tu, terus balik ke Makkah. Sampai lebih kurang kul 11 pagi. Kami rushing gi masjid untuk bertawaf sebelum masuk waktu zohor. Nanti kalau tengah2 tawaf masuk waktu zohor, kena stop la pulak kan… Alhamdulillah, masa kami mula tawaf tu jemaah belum ramai lagi. Jadi kami boleh mengelilingi kaabah dalam jarak dekat. Jadi waktu pun pendek je, sekejap siap. Hinggakan pada satu masa aku hampir2 nak pegang kaabah. Mujur isteri aku cepat-cepat tarik aku, “Bang.. kan kita masih dalam ihram ni!”. “Oh ye.. nasib baik belum sempat pegang.”. Hah! Tu la dia.. kalau pegang tadi, kena bayar dam seekor kambin.

Azan zohor berkumandang sebaik saja kami sampai ke bukit safa untuk memulakan sae’i. Kami berjamaah solat zohor dari kawasan sae’i tu je. Kali ni kami tak rushing macam masa yang first time kelmarin. Jalan pun lirek je sebab time tu siang… kalau laju2 nanti cepat haus.. bukan boleh minum. Nak tunggu waktu buka puasa dalam 4 jam lagi.

Kami tamat bersae’i kira-kira 45 minit kemudian. Kali ini aku terus bergunting kat bukit marwah tu je. Lepas tu aku gunting pulak rambut wife aku. Alhamdulillah, selesai umrah kami yang kedua. Semoga Allah sampaikan niat aku untuk arwah mak aku. Amin.

Pada sebelah petang, aktiviti macam biasa je. Tunggu waktu buka puasa. Lepas tu buka puasa. Solat maghrib. Gi masjidilharam, solat isyak dan tarawikh. Lepas tu balik tido…

September 23, 2008

Diari Umrah dan Ziarah V

Hari 5 – Isnin, 8 Ramadhan 1429.

Hari ini adalah aktiviti bebas. Aku dan isteri hanya berehat sebab semalam dah menyelesaikan umrah buat pertama kali dalam hidup kami. Agak letih sedikit. Bagaimanapun, ada beberapa orang pakcik dan makcik yang dah biasa melaksanakan ibadah umrah pergi ke Tana’em (miqat terdekat dengan kota Makkah) untuk berniat. Aku kagum dengan tenaga yang mereka ada. Ada sesetengah tu dah pangkat datuk dengan nenek dengan aku, tapi tetap gagah untuk beribadat. Malah ada yang terpaksa berkerusi roda untuk bertawaf dan sae’i. Mereka berlumba-lumba untuk mencari kereda’an Allah. Subhanallah.

Aktiviti kami berdua hari ini adalah berehat dan bershopping di sekitar kawasan hotel. Di sini banyak dijual pakaian wanita dan lelaki seperti jubah, kurta, tudung, songkok, sejadah dan segala macam pakaian yang berbagai fesyen. Semua yang sesuai digunakan oleh wanita Islam. Jubah wanita yang agak murah dijual antara 60 ke 80 riyal sehelai. Bagaimanapun kalau ditawar, boleh mencecah 40 riyal sehelai. Ada juga yang lebih mahal kira-kira 150 riyal. Jangan risau kalau tak pandai berbahasa Arab sebab kebanyakan penjual-penjual di sini pandai berbahasa Melayu yang mudah. Bahasa perniagaan boleh la. Ada juga yang mengikuti perkembangan politik di Malaysia. Nama Anwar, Mahathir dan Abdullah dikenali di sini. Dari segi rupa paras, aku rasa kebanyakan pekerja-pekerja di kedai-kedai di sini berasal dari Bangladesh.

Agak sakan jugak isteri aku bershopping. Aku cuma jadi tukang angkut je sebab fulus kurang. Petangnya pulak, kami hanya pergi ke masjidilharam untuk bersolat zohor dan asar. Cuaca yang agak panas tambahan pula di bulan Ramadhan menghadkan aktiviti kami di luar. Jadi, jimat belanja la kot.

Pada malamnya, buat pertama kali kami dapat bersolat tarawikh di masjidilharam. Biasanya aku tengok kat tv je. Pada malam itu, aku turut bersama ribuan jemaah lain bersolat tarawikh. Seperti biasa, kena masuk ke masjid sekurang-kurangnya satu jam lebih awal untuk mendapat tempat di dalam masjid. Jemaah yang datang mengerjakan umrah dari seluruh dunia pada bulan Ramadhan sangat ramai kerana fadilat mengerjakan umrah pada bulan ini sama seperti mengerjakan haji (berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.).

Oleh sebab dah ada telefon genggam yang boleh digunakan di sini, agak mudah untuk kami berjumpa selepas selesai bersolat. Kami tak melepaskan peluang mencuba jus buah-buahan yang dikatakan orang sedap. Jus-jus ini dijual oleh beberapa kedai berhampiran masjidilharam dengan harga 5 riyal secawan. Memang agak sedap juga tapi pada aku terlalu manis. Ada juga dijual minuman berkarbonat dalam tin antaranya pepsi dan mirinda. Setiap satu berharga 1 riyal.

Kami berjalan balik ke hotel bersama-sama dengan jemaah yang lain. Beberapa jalanraya berhampiran masjid akan ditutup sementara kepada kenderaan setiap kali habis waktu solat. Kebiasaannya, jalan-jalan yang kami lalui penuh sesak dengan kenderaan dan pemandu-pemandu di sini menggunakan sepenuhnya hon kenderaan mereka. Bunyi bingit hon kenderaan adalah biasa di sini seolah-olah hon ditekan setiap satu atau dua minit sekali. Kebanyakan pemandu juga memandu kenderaan mereka tak kira bas, kereta, 4x4 malah motor sekalipun umpama mat rempit kat Malaysia. Ganas sehh… Kemik-kemik dan calar pada kereta juga biasa. Kenderaan berjenama Toyota berbagai model dan varian mendominasi jalanraya di sini terutamanya Camry. Mungkin 50% atau lebih.

Masa nak tidur aku menyedari bahawa kesengalan otot kaki dan badan selepas tawaf dan sae'i semalam dah tak ada. Alhamdulillah. Pemulihan dengan solat tarawikh berjamaah 20 rakaat!

September 22, 2008

Diari Umrah dan Ziarah IV

Hari 4 – Ahad, 7 Ramadhan 1429.

Setelah siap mengemaskan barang-barang kami, aku angkat semuanya ke lobi untuk dikumpulkan bersama dengan barang2 jemaah yang lain. Hari ini kami akan berangkat ke kota suci Makkah. Kami dah bersiap dengan pakaian ihram masing-masing. Tempat miqat bagi jemaah yang akan masuk kota Makkah dari Madinah adalah di Mudzalifah atau juga dikenali sebagai Bir ‘Ali. Sepatutnya kami bertolak pada jam 10 pagi supaya dapat sampai awal ke kota Makkah. Bagaimanapun, akibat daripada kerenah si drebar bas, hamper jam 11.00 baru kami bertolak. Dugaan… Drebar kat sini biasa mintak duit kocek baru la ndak jalan… walaupun dah dapat gaji. Kalau tak bagi duit, macam-macam kerenah dibuatnya.

Kira-kira jam 12 tgh kami sampai di masjid Bir ‘Ali. Kami menunaikan solat sunat ihram dan berniat ihram untuk umrah di sini. Maka dari saat itu, bermulalah bagi kami untuk menjaga segala pantang-larang ihram. Kami meneruskan perjalanan ke kota Makkah setelah semua jemaah selesai dengan tugas masing-masing. Bermulalah juga laungan talbiah dari para jemaah sepanjang perjalanan.

“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala puji-pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu yang tiada sekutu bagi-Mu”.

Kami berhenti di sebuah kawasan rehat untuk menunaikan solat zohor dan asar. Perjalanan diteruskan tak lama selepas tu. Cuaca agak redup dan sesekali hujan turun sepanjang perjalanan kami. Bas yang kami naiki memasuki kota Makkah pada kira-kira jam 5.00 ptg dan sampai ke hotel penginapan kami ½ jam kemudian. Jarak antara hotel dengan masjidil haram kira-kira 500 meter. Semakin dekat jarak hotel dengan masjidil haram, makin tinggi harganya!




Urusan check-in dah dibuat lebih awal oleh pihak TH. Kami cuma ambik kunci masing-masing dan terus masuk ke bilik masing-masing. Kami menginap di hotel Al-Firdaus Tower. Beg-beg kami diuruskan oleh pihak hotel. Hotel kami di Makkah tidak seperti di Madinah. Biliknya jauh lebih kecik lebih kurang 8’ x 10’ dan hanya memuatkan 2 katil single, sebuah almari, sebuah peti sejuk dan tv. Tv pun duduknya atas peti sejuk. Bilik mandi pun kecik. Yang penting kami boleh berehat…

Oleh kerana waktu berbuka puasa dah dekat, kami dinasihatkan supaya mengerjakan tawaf selepas berbuka puasa dan solat maghrib. Makanan di hotel ini disediakan oleh warga Indonesia yang berkerja di sini. Walaupun citarasa Melayu, tapi rasanya agak kurang… no komplen.. makan je lahhh…

Selepas solat maghrib, kami berkumpul di lobi hotel. Mutawwif kami ustaz Sarifudin memberikan sedikit tunjuk ajar dan nasihat. Kami juga digalakkan supaya bertawaf secara berkumpulan. Kami bergerak ke masjidilharam secara berkumpulan. Tapi.. sampai2 je dekat masjid, dah tak jumpa group dah sebab terlalu ramai manusia. Sudahnya aku berkumpulan dengan isteri aku je. Kumpulan duet la ni…

Jemaah-jemaah yang dari sebelah asia barat agak kasar sikit. Kadang-kadang diorang main langgar je. Kena pulak diorg jalan berkumpulan siap berganding tangan lagi. Jangan tahan, sama ada elak atau ikut arus je kalau tak mau tergolek. Habis pusingan ke lima, azan isyak mula berkumandang. Masuk pusingan ke tujuh, petugas masjid dah mula menghalang laluan tawaf untuk memberi laluan kepada jemaah yang akan menunaikan solat isyak. Tapi masih dapat aku redah. Ngam-ngam habis tujuh pusingan.. dah habih kena blok.. tak boleh jalan. Alhamdulillah, selesai sudah kami bertawaf.

Kami turut sama bersolat sewaktu jemaah lain solat isyak. Selesai solat, kami turun semula ke Ka’abah untuk berdoa di multazam. Lepas tu masuk ke Hijr Ismail, dapat masuk walaupun agak payah. Dapat juga kami solat di Hijr Ismail dan di makam Ibrahim. Selepas tu aku patah balik ke pintu King Fahd untuk cari selipar aku. Pengajarannya, bawak selipar bersama ke mana saja anda berada di dalam masjid. Sediakan beg selipar atau paling koman pun beg plastik untuk mengisi selipar. Kemudian kami keluar dari pintu yang sama untuk mencari tempat bersae’i. Jenuh la keliling, first time la katakan. Setelah bertanya beberapa kali dengan beberapa pengawal kat luar masjid tu, jumpa la jugak. Sebenarnya sangat mudah kalau nak sampai ke bukit safa dari dalam masjid, tapi sebab tak tau… jadi susah.

Kami bersae’i pun berdua juga sebab dah tak jumpa dengan grup kami yang lain. Di bukit marwah, ada budak-budak tempatan yang bersedia dengan gunting untuk sesiapa yang nak menggunakan khidmat mereka untuk bertahalul (bergunting). Entah berapa upah yang diorg ambik, aku tak tau sebab aku tak guna servis diorang. Aku ada gunting sendiri…

Selepas selesai sae’i di bukit marwah, kami keluar dari masjid di pintu berhampiran bukit marwah. Tapi aku rasa lain macam sebab pemandangan tak sama macam masa kami masuk tadi. Rupa-rupanya kami berada di pintu yang bertentangan dengan pintu yang kami masuk tadi. Kami pusing balik cari pintu kami masuk tadi. On da way tu, ada air zamzam disediakan di dalam tong-tong di sekitar kawasan masjid. Tak berlengah lagi, kami minum air zamzam... perghhh… nikmatnya tak terhingga.. maklumlah punya la haus…

Akhirnya sampai juga di pintu Raja Fahd tadi. Tu dia.. ada KFC dengan stesen bas. Memang sah pintu aku masuk tadi kat sini. Terus kami jalan laju je balik ke hotel.. masuk dalam bilik, ambik gunting.. aku gunting rambut aku, lepas tu aku gunting rambut isteri aku. Sebenarnya aku bawak gunting dalam beg sandang aku tadi, tapi tak jumpak carik.. hua hua hua. Alhamdulillah… selesai sudah umrah kami yang pertama. Sudah halal… kuang kuang kuang… kuang kuang…

Diari Umrah dan Ziarah III


Kami di Masjid Quba'

Hari 3 – Sabtu, 6 Ramadhan 1429.

Seawal jam 6.45 pagi kami sudah berkumpul di lobi hotel. Sebaik sahaja semua jemaah sudah masuk ke dalam bas yang disediakan, perjalanan ke Masjid Quba’ dimulakan.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang berwuduk dari rumahnya, kemudian bersolat dua rakaat di masjid Quba’, pahalanya sama dengan ibadah umrah”.

Sebab itu kami dinasihatkan supaya mengambil wuduk sebelum bertolak. Sapa2 yang dah terbatal masa dalam perjalanan tu, ambik la semula wuduk kat masjid tu nanti. Perjalanan mengambil masa kira-kira ½ jam ke Quba’. Sesampainya di sana, masing2 terus bersolat di dalam masjid. Tak kira la solat apa sekalipun, solat tahiyatul masjid ke, solat duha ke.. solat taubat sekalipun.. semuanya boleh.

Selesai bersolat di masjid Quba’, kami meneruskan perjalanan ke Bukit Uhud (Jabal Uhud) di mana peperangan Uhud berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. dulu. Dalam peperangan tersebut, ramai tentera umat Islam terkorban, antaranya Saidina Hamzah r.a. Di kawasan bukit ini, ramai peniaga yang menjual barangan yang boleh dibuat cenderahati dan juga herba, antaranya rumput fatimah dan serbuk bunga kurma. Rumput fatimah dikatakan elok untuk wanita yang ingin melahirkan anak, manakala serbuk bunga kurma boleh dijadikan ubat untuk wanita yang sukar mendapatkan anak.

Kemudian kami dibawa ke kebun kurma, bukan nak petik kurma tapi beli buah kurma. Di kebun kurma ini sendiri, ada disediakan kedai yang menjual berbagai-bagai jenis kurma dan beberapa jenis bahan makanan lain seperti buah zaitun, aprikot dan makanan yang berasaskan buah kurma. Kurma yang menjadi tumpuan sudah tentunya kurma nabi atau kurma ajwa. Sekilo buah kurma jenis ini berharga antara 50 hingga 70 riyal berdasarkan gred. Kalau kat Malaysia, harganya mencecah RM150 sekilo.

Menurut sejarahnya, kurma ajwa ini terhasil daripada biji kurma yang telah direbus oleh seorang Yahudi untuk memperdaya Nabi Muhammad s.a.w. Si yahudi ni menyuruh nabi menanam biji kurma tersebut dan kununnya akan memeluk agama Islam seandainya biji kurma tersebut bercambah. Dengan kuasa Allah yang memberikan mukjizat kepada Rasulullah, maka tumbuhlah pokok kurma dari biji yang telah direbus tu tadi. Tapi biasa la.. yahudi ni mana boleh percaya.. tak masuk Islam pun dia. Itu la pasal, buah kurma ajwa ni agak kemetot sikit.. dah kena rebus daa…

Selepas habis bershopping sakan, kami pun bertolak balik ke hotel supaya dapat mengerjakan solat zohor berjamaah di masjid nabi. Pada waktu petang, kami hanya berehat di bilik, dan hanya keluar ke masjid untuk menunaikan solat asar. Dalam perjalanan balik ke bilik, kami sempat membeli dua keping kad prabayar telefon mudah alih. Harganya 70 riyal setiap satu, nilai kreditnya juga 70 riyal. Satu masalah timbul, punca elektrik kat sini adalah 2 pin yang berbentuk bulat. Macam mana nak cas handphone daaa… mujurlah ada pasaraya binDawood kat bawah hotel kami tu.. ada barang yang kami perlukan, converter dari soket bulat ke 3 pin yang macam kat Malaysia. Berapa voltan aku tak pasti.. tapi cucuk je jalan.. ok la tu.

Lepas masukkan sim kad ke dalam phone, satu lagi masalah.. rupanya tak ada nombor telefon tertulis pada kad prabayar tu. Kalau kat Malaysia ada nombor kat luar tu kan, siap boleh pilih. Aku tak perasan pulak masa beli tadi tak ada nombor tu… Nak turun balik jumpa budak yang jual kad tu dah malas dah… sudahnya aku telefon adik aku kat rumah, suruh tengok apa nombor yang keluar.. hehehe.. jauh tu peginya…

Malam itu, buat pertama kalinya aku berjaya bersolat tarawikh berjamaah di masjid nabi. Solat tarawikh di sini dijalankan sebanyak 20 rakaat dan diakhiri dengan witir 2 + 1 rakaat. Yang berbezanya, tak ada zikir, doa ataupun apa-apa bacaan antara dua solat macam kat tempat kita. Lepas setiap salam, terus dijalankan solat yang seterusnya. Kalau ada masa yang lambat sikit pun sebab imam tukar giliran.

September 19, 2008

Diari Umrah dan Ziarah II



Pemandangan di Masjid Nabawi dari tingkap bilik kami



Masjid nabi di waktu malam




Orang ramai menunggu waktu berbuka puasa di masjid nabi


Hari 2 – Jumaat, 5 Sept 2008

Perjalanan dengan bas ke Madinah hanya bermula pada jam 1.00 pagi akibat sedikit kekeliruan teknikal. Entah kenapa terjadi kecelaruan pengurusan TH sedangkan itu bukan kali pertama mereka mengendalikan bakal-bakal jemaah umrah seperti kami. Alhamdulillah, semua dapat diuruskan dan kami meneruskan perjalanan ke Madinah. Setelah 3 jam perjalanan, kami berhenti di kawasan penempatan Al-Fare’ untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta mengisi perut untuk bersahur. Oleh kerana waktu subuh hampir tiba, kami terus menunggu sehingga masuk waktu subuh dan terus bergerak ke Madinah setelah selesai mengerjakan solat subuh berjemaah. Dan kejutan yang pertama aku lalui, tiada zikir dan doa selepas solat seperti di Malaysia.

Kami memasuki kota Madinah pada kira-kira jam 7.00 pagi tatkala matahari mula menyebarkan sinarnya. Jam 7.30 pagi kami sampai ke hotel penginapan. Kejutan kedua; hotel tu dinamakan sempena nama aruah atuk aku – Hotel Anwar Movinpick. He he he..
Jangan mara haa… Urusan daftar masuk ke hotel telah dibuat terlebih awal oleh pihak TH, dan kami hanya mengambil kunci bilik masing-masing dari wakil TH. Semuanya berjalan lancar. Aku dan isteri ditempatkan di sebuah suite 4 bilik bersama 2 lagi pasangan dan seorang pakcik. Yang paling best bilik kami sebab betul-betul menghadap masjid Nabawi (Nabi).

Aku bercadang nak berehat dulu sebab tak tidur dengan betul sejak pukul 5 pagi semalam dan kebetulan pulak mutawwif menjadualkan lawatan kami ke masjid nabi pada sebelah petang, tapi isteri aku teruja sangat nak masuk ke masjid nabi dan pergi ke Raudah. Pasangan yang duduk di bilik yang satu lagi sudah biasa dengan keadaan di Madinah dan Makkah kerana mereka menunaikan umrah pada setiap tahun sejak 13 tahun yang lalu. Juga pernah mengerjakan haji beberapa kali dan sesi kali ini merupakan sesi kedua mereka untuk tahun ini. Pada jam 10.00 pagi, kami terus pergi ke masjid nabi dengan dipandu oleh Abang Shaik dan isterinya Kak Shida. Oleh kerana hari itu Jumaat, orang ramai telah berpusu-pusu sampai ke masjid. Saf depan memang payah sekali. Alhamdulillah, setelah 2 kali masuk dari pintu Al-Salam dan melalui makam Rasulullah s.a.w, dapat juga aku duduk di saf 4 dari depan. Kelebihan orang slim macam aku! Ngam-ngam duduk bertinggung je. Aku duduk kira-kira 10m dari pintu Al-Salam. Jemaah-jemaah yang ingin melawat makam nabi Muhammad s.a.w akan masuk dari pintu ini dan berjalan di belakang aku terus sampai ke hujung satu lagi di mana letaknya makam nabi Muhammad s.a.w, Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar r.a.

Sambil duduk, aku memerhatikan keadaan sekeliling. Yang menarik perhatian aku, kebanyakan jemaah tidak meninggalkan kasut di luar masjid. Mereka akan membawa kasut bersama dan diletakkan di rak di dalam dan yang paling banyak di tiang-tiang di dalam masjid. Jadi, jangan duduk dekat dengan tiang. Nanti jadi tempat letak kasut! Rasionalnya, masuk ikut pintu mana suka, keluar ikut pintu mana suka.. tak payah cari selipar kat pintu masuk tadi. Kedudukan di dalam saf juga merupakan sesuatu yang patut diberi perhatian. Pantang ada ruang, orang arab ni akan mencelah walaupun ruang yang ada cuma 6 inci. Seboleh-bolehnya diorang akan masuk dalam saf walaupun bontot diorang ni besar! Kadang-kadang aku tengok sampai bergaduh sebab ruang dah la kecik, ndak jugak masuk kat situ.

Jam 12.15 tgh, masuk waktu zohor. Khutbah sudah tentu dalam bahasa arab sepenuhnya. Sikit-sikit perkataan tu faham la jugak, tapi nak jadikan ayat.. memang tak jadi… dengar je lah… Setelah selesai solat Jumaat, aku tunggu isteri aku kat tempat yang dijanjikan. Tunggu punya tunggu punya tunggu tak muncul-muncul. Aku duk berjemur kat luar masjid tu. Dah lebih sejam, aku pun balik ke bilik kot-kot isteri aku ada kat situ.. takde jugak… mana la pulak. Aku turun lagi kat tempat tadi… tunggu lagi.. dah dekat pukul 3 ptg. Akhirnya aku ambik keputusan pusing keliling masjid nak cari wife aku. Aku rasa lebih 1km kot berjalan keliling masjid tu. Sampai kat meeting point tadi balik, pun tak ada. Aku dah mencungap dah… akhirnya aku naik balik kat bilik, dan jumpa wife aku tengah nak masuk bilik jugak. Alhamdulillah, rupa-rupanya setelah selesai solat Jumaat tadi, wife aku berpeluang ke raudah. Peluang keemasan dalam hidup yang sudah tentu tidak akan dilepaskan. Kalau nak tunggu waktu lain, entah bila agaknya. Insya-Allah kalau dapat berkunjung, bersolat dan berdoa di raudah di dunia, akan dapat kembali ke tempat itu di akhirat kelak.

Sejam sebelum masuk waktu asar, kami ke masjid lagi. Kalau lambat, memang tak dapat tempat. Selesai solat asar sewaktu nak balik ke bilik hotel, aku rasa badan aku dah tak stabil. Jalan macam melayang je rasa. Alamak, apasal la pulak… baru aku sedari aku manusia biasa yang perlukan rehat. Sejak pukul 4 pagi semalam sampai ke saat itu aku belum tidur dengan sempurna. Maknanya sudah lebih 40 jam berlalu tanpa tidur. Kami berehat di bilik, tapi aku tak mau tidur sebab tidak mahu terlepas waktu berbuka. Kalau tidur, misti dah payah nak bangun. Isteri aku dah terlungkup tak sedarkan diri kat atas sofa. Siaran TV semua bahasa arab daaa…. Layan je la..
Hampir waktu berbuka, aku kejutkan isteri aku. Kami berbuka puasa di restoran hotel. Tidak seperti kebanyakan orang yang lain, mereka berbuka di masjid. Tak larat nak pegi masjid dah. Aku terasa nikmat berbuka yang amat sangat sebab terlalu keletihan. Selepas berbuka, solat maghrib pun kat bilik je. Berehat sementara menunggu masuk waktu isyak di bilik juga, dan solat isyak pun di dalam bilik. Malam itu aku tak dapat menunaikan hasrat solat tarawikh di masjid nabi kerana sewaktu umat islam yang lain sedang solat tarawikh, aku dah tak sedarkan diri. Nikmat tidur yang tak terhingga….

Diari Umrah dan Ziarah I

Alhamdulillah. Kami selamat kembali ke tanah air setelah berada di tanah suci selama 9 hari. Berikut adalah catatan perjalanan kami di Madinah dan Makkah.

Hari 1 – Khamis, 4 Ramadhan 1429

Kami dijadualkan berkumpul di KLIA pada jam 12.00 tgh. Abah mertuaku menghantar kami ke KLIA. Turut sama nenek isteri aku dan adik bongsunya. Agak awal sampai di KLIA, lebih kurang jam 11.00 pg. Kami mengambil langkah selamat supaya tidak tergesa-gesa di saat akhir.


Sementara menunggu taklimat



Sesampainya di KLIA, terdapat beberapa orang bakal jemaah yang kami pasti akan turut bertolak bersama-sama kami nanti berdasarkan pada beg sandang yang mereka bawa. Tak lama kemudian, beberapa rakan-rakan sepejabat aku iaitu Muin, Salina, Liza dan Normala sampai untuk mengucapkan selamat jalan. Tak ketinggalan juga Pak Ya sahabat lama aku yang bekerja di MAB turut sama mengucapkan selamat jalan.

Jumpa Pak Ya je mesti aku tanya, “Amacam Ya! Dah jadi jutawan??”.
Pak Ya Cuma senyum kelat je, “Payah la sikit Mi… susah nak cari orang”. “Boleh la sikit-sikit”.
“Sabar je la Ya.. sikit-sikit lama-lama jadi le tu”, respon aku macam biasa.

Tepat jam 12.00 tgh, petugas Tabung Haji Travel (THT) membahagi-bahagikan dokumen-dokumen perlu untuk perjalanan kami. Sambil itu beliau mengarahkan kami agar mendaftar masuk bagasi yang dibawa. Sesi taklimat akan dijalankan pada jam 1.00ptg.

Jam 1 ptg, petugas THT memberikan serba sedikit penerangan tentang prosedur-prosedur serta aktiviti yang akan kami lalui sepanjang tempoh ziarah dan umrah nanti. Juga ingatan-ingatan penting dan tips yang harus kami ambil kira sepanjang tempoh tersebut. Selesai sesi taklimat, aku dan isteri aku terus masuk ke kawasan perlepasan antarabangsa. Urusan pass terbang (boarding pass) telah diuruskan oleh pihak agensi. Enrich kad tak laku untuk group check-in. Banyak point kalau dapat tu...

Selepas menunaikan solat Zohor dan Asar, kami menunggu panggilan masuk di pintu yang ditetapkan. Tepat jam 3 ptg, pesawat yang disediakan telah bersedia menyambut ketibaan kami. Kami berdua bersama bakal-bakal jemaah lain terus masuk ke perut pesawat Boeing 747-400 dengan kod penerbangan MH150. Setelah hampir ½ jam menunggu, pesawat ditunda ke landasan untuk perlepasan. Tapi aku tengok agak lama pilot dok main-main dengan sayap kapal terbang tu. Apahal la pulak.. tak pernah aku tengok macam tu sebelum ni…

Pengumuman encik pilot menjawap persoalan dalam kepala aku,”Tuan-tuan dan puan-puan, pesawat ini menghadapi sedikit masalah teknikal. Penerbangan ini terpaksa ditangguhkan sementara sehingga masalah tersebut dapat diselesaikan. Harap maaf diatas kesulitan”. Maka pesawat pun ditolak balik ke tempat parking. Tak lama kemudian, pengumuman lain pulak dah, “Tuan-tuan dan puan-puan, kita akan bertukar pesawat penerbangan untuk bertolak ke Jeddah. Sila keluar dari pesawat ini dan tunggu di pintu nombor berapa tak hingat sehingga diberitahu kelak”. Pulak dah….

Maka berbondong-bondonglah kami semua keluar dari kapalterbang tu jalan beramai-ramai ke pintu yang tak hingat nombor berapa ntah. Jauh gak kena jalan… Selepas hampir 3 jam menunggu di terminal, pesawat yang dijanjikan telah bersedia untuk menerima kehadiran kami. Pesawat jenis sama, tapi nama berbeza. Kalau tak silap yang memula tadi Langkawi, yang ini Labuan kot… Kami pun ambik la tempat duduk masing-masing. Jam 7.22 ptg merupakan waktu berbuka puasa, dan kami pun berbuka puasa kat dalam pesawat tu sambil pesawat mula bertolak ke landasan terbang. Jam 7.30 mlm kami sudah berada di udara.

Penerbangan dari KL ke Jeddah mengambil masa selama 8 jam. Walaupun ada hiburan dalam penerbangan (in-flight entertainment), aku takde la rasa terhibur sebab semua rancangan tak menarik minat aku. Dari satu rancangan ke satu rancangan aku ubah, semua membosankan. Nak tidur tak dapat, faham-faham je kerusi kelas ekonomi. Sepanjang tempoh tu, dua kali makanan dihidangkan. Aku ambik yang pertama je, yang lagi sekali aku tak ambik sebab masih kenyang. Kat sebelah isteri aku, seorang makcik yang telah beberapa kali pergi menunaikan haji dan umrah. Sesekali makcik tu bercerita tentang pengalaman dia kat sana.. dan sedikit tip-tip yang mungkin kami boleh gunakan. Akhirnya kami sampai kat Jeddah pada jam 3.40am (5 Sept) waktu Malaysia ataupun 10.40pm (4 Sept) waktu Arab Saudi. Di Jeddah, kami disambut oleh beberapa orang wakil TH dan mutawwif (fasilitator tawaf) dan terus membawa kami ke bas-bas yang akan kami naiki untuk perjalanan seterusnya ke kota Madinah.

September 02, 2008

Salam Ramadhan

Hari ini masuk hari kedua umat Islam di Malaysia dan kebanyakan negara Islam di dunia menunaikan rukun Islam yang ke-3. Alhamdulillah dapat kita merasakan lagi nikmat Ramadhan untuk tahun ini. Insya-Allah, semoga akan dapat kita tunaikan kewajipan kita dengan sempurna hingga ke hari yang terakhir nanti. Di samping ibadah yang wajib, semoga dapat juga kita melakukan amalan-amalan sunat yang sangat banyak dikurniakan Allah pada bulan yang mulia ini.

Insya-Allah, aku dan isteri akan berangkat ke tanah suci Mekah pada 4 Ramadhan nanti untuk melaksanakan ibadah umrah. Kepada sahabat-sahabat yang membaca catatan ini, aku nak ambik kesempatan memohon kemaafan andai ada kesalahan yang telah aku lakukan pada sesaiapa saja. Doakan semoga perjalanan kami pergi dan balik selamat dan dapat menjalankan ibadah dengan sempurna. Insya-Allah kami doakan sahabat-sahabat akan menyusul pada suatu masa nanti. Harapan kami juga ini bukan ziarah kami yang terakhir ke tanah suci. Kepada sahabat-sahabat yang mengirimkan salam kepada Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda, juga yang berkirim doa, doakan agar kami sampai dengan selamat untuk menyampaikan salam dan doa kalian. Insya-Allah.

Jika ada rezeki, aku akan catatkan diari perjalanan kami di tanah suci sekembali kami ke tanah air nanti. Di samping untuk menggalakkan sahabat-sahabat untuk turut serta di masa yang lain, juga sebagai panduan bersama dan juga untuk diri aku sendiri yang mudah terlupa.

Cerita BukuMuka

Cari dalam cerita ini