September 23, 2008

Diari Umrah dan Ziarah V

Hari 5 – Isnin, 8 Ramadhan 1429.

Hari ini adalah aktiviti bebas. Aku dan isteri hanya berehat sebab semalam dah menyelesaikan umrah buat pertama kali dalam hidup kami. Agak letih sedikit. Bagaimanapun, ada beberapa orang pakcik dan makcik yang dah biasa melaksanakan ibadah umrah pergi ke Tana’em (miqat terdekat dengan kota Makkah) untuk berniat. Aku kagum dengan tenaga yang mereka ada. Ada sesetengah tu dah pangkat datuk dengan nenek dengan aku, tapi tetap gagah untuk beribadat. Malah ada yang terpaksa berkerusi roda untuk bertawaf dan sae’i. Mereka berlumba-lumba untuk mencari kereda’an Allah. Subhanallah.

Aktiviti kami berdua hari ini adalah berehat dan bershopping di sekitar kawasan hotel. Di sini banyak dijual pakaian wanita dan lelaki seperti jubah, kurta, tudung, songkok, sejadah dan segala macam pakaian yang berbagai fesyen. Semua yang sesuai digunakan oleh wanita Islam. Jubah wanita yang agak murah dijual antara 60 ke 80 riyal sehelai. Bagaimanapun kalau ditawar, boleh mencecah 40 riyal sehelai. Ada juga yang lebih mahal kira-kira 150 riyal. Jangan risau kalau tak pandai berbahasa Arab sebab kebanyakan penjual-penjual di sini pandai berbahasa Melayu yang mudah. Bahasa perniagaan boleh la. Ada juga yang mengikuti perkembangan politik di Malaysia. Nama Anwar, Mahathir dan Abdullah dikenali di sini. Dari segi rupa paras, aku rasa kebanyakan pekerja-pekerja di kedai-kedai di sini berasal dari Bangladesh.

Agak sakan jugak isteri aku bershopping. Aku cuma jadi tukang angkut je sebab fulus kurang. Petangnya pulak, kami hanya pergi ke masjidilharam untuk bersolat zohor dan asar. Cuaca yang agak panas tambahan pula di bulan Ramadhan menghadkan aktiviti kami di luar. Jadi, jimat belanja la kot.

Pada malamnya, buat pertama kali kami dapat bersolat tarawikh di masjidilharam. Biasanya aku tengok kat tv je. Pada malam itu, aku turut bersama ribuan jemaah lain bersolat tarawikh. Seperti biasa, kena masuk ke masjid sekurang-kurangnya satu jam lebih awal untuk mendapat tempat di dalam masjid. Jemaah yang datang mengerjakan umrah dari seluruh dunia pada bulan Ramadhan sangat ramai kerana fadilat mengerjakan umrah pada bulan ini sama seperti mengerjakan haji (berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.).

Oleh sebab dah ada telefon genggam yang boleh digunakan di sini, agak mudah untuk kami berjumpa selepas selesai bersolat. Kami tak melepaskan peluang mencuba jus buah-buahan yang dikatakan orang sedap. Jus-jus ini dijual oleh beberapa kedai berhampiran masjidilharam dengan harga 5 riyal secawan. Memang agak sedap juga tapi pada aku terlalu manis. Ada juga dijual minuman berkarbonat dalam tin antaranya pepsi dan mirinda. Setiap satu berharga 1 riyal.

Kami berjalan balik ke hotel bersama-sama dengan jemaah yang lain. Beberapa jalanraya berhampiran masjid akan ditutup sementara kepada kenderaan setiap kali habis waktu solat. Kebiasaannya, jalan-jalan yang kami lalui penuh sesak dengan kenderaan dan pemandu-pemandu di sini menggunakan sepenuhnya hon kenderaan mereka. Bunyi bingit hon kenderaan adalah biasa di sini seolah-olah hon ditekan setiap satu atau dua minit sekali. Kebanyakan pemandu juga memandu kenderaan mereka tak kira bas, kereta, 4x4 malah motor sekalipun umpama mat rempit kat Malaysia. Ganas sehh… Kemik-kemik dan calar pada kereta juga biasa. Kenderaan berjenama Toyota berbagai model dan varian mendominasi jalanraya di sini terutamanya Camry. Mungkin 50% atau lebih.

Masa nak tidur aku menyedari bahawa kesengalan otot kaki dan badan selepas tawaf dan sae'i semalam dah tak ada. Alhamdulillah. Pemulihan dengan solat tarawikh berjamaah 20 rakaat!

2 comments:

Tanpa Nama said...

Kau pegi umrah ker mie,wah2 tahniah,alhamdulillah ada rezeki dpt pegi.

Shh said...

Alhamdulillah. Rezeki anugerah Allah.

Cerita BukuMuka

Cari dalam cerita ini